“Saya Tidak Akan Letak Jawatan Sebagai Penaung Program Permata” – Rosmah

0
227

LANGKAWI – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebagai penaung program Permata walaupun ada desakan daripada parti pembangkang supaya beliau berbuat demikian.

Ini, katanya, kerana segala usaha dan kudrat yang beliau sumbangkan selama ini tidak sedikit pun untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya satu daripada usaha beliau menyumbang kepada negara khususnya buat anak-anak pewaris negara.

Beliau menjelaskan dalam tempoh 10 tahun Permata mengorak langkah yang penuh liku dan cabaran, beliau sendiri selaku penaung program itu tidak pernah terlepas daripada menjadi mangsa pelbagai fitnah dan tohmahan.

“Pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas kami, kononnya saya mendesak kerajaan tambah peruntukan Permata, kononnya saya salah guna wang Permata untuk kepentingan sendiri.

“Tak apalah, apa orang nak kata, demi anak-anak bangsa. Segala dakwaan palsu oleh pihak lawan, walaupun pedih di hati, saya biarkan sahaja bagaikan angin yang lalu. Saya yakin sesungguhnya bantuan Allah SWT itu akan sentiasa bersama orang yang baik,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Anak Permata Negara Langkawi di Kompleks LADA, di sini hari ini. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.