Satu pembohongan – PM jawab dakwaan Malaysia sebuah negara bankrap

0
81

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa dakwaan pihak tertentu ko­nonnya Malaysia adalah sebuah negara gagal dan bankrap merupakan satu pembohongan yang jelas. Perdana Menteri membe­ritahu, kerajaan tahu dan sedar segala dakwaan yang dibuat oleh pembangkang khususnya di luar negara namun menyifatkannya sebagai tiada asas dan tidak berdasarkan kepada fakta. “Jawapan saya dalam Dewan (Rakyat) berasaskan fakta yang disahkan oleh badan seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan sebagainya. “Kalau ada pihak kata Malaysia bankrap, negara gagal, itu satu pembohongan yang jelas,” katanya. Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Rengam) yang ingin tahu sama ada tindakan pihak pembangkang memburuk-burukkan negara di luar negara merupakan tindakan sabotaj dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini. Menyentuh mengenai tahap hutang negara, Najib menjelaskan, kedudukannya masih terurus dengan Malaysia telah dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana berban­ding beberapa negara maju lain.

Perdana Menteri berkata, tahap hutang negara berada pada 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu kekal tidak melebihi tahap 55 pe­ratus yang telah dihadkan. “Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita terus sediakan perancangan ekonomi dan kewangan jangka panjang untuk capai hasrat negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan saiz ekonomi RM2 trilion sekali gus menuju Tranformasi Nasional 2050 (TN50) yang meletakkan Malaysia dalam 20 negara terbaik lagi termaju dunia,” jelasnya. Dalam perkembangan sama, Najib memberitahu, setakat 28 Februari lalu, rizab antarabangsa negara mencatatkan jumlah sebanyak RM419.5 bilion. Beliau berkata, nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga menunjukkan pe­ningkatan daripada RM4.48 pada Disember 2016 kepada RM3.92 pada 28 Februari lalu. Selain itu, Perdana Menteri menjelaskan, kemampuan kerajaan menguruskan kewangan negara terus mendapat pengiktirafan apabila badan antarabangsa memberi penarafan maksimum A sedangkan pada masa sama, negara-negara pengeluar minyak utama dunia menyaksikan gred yang menurun.-BERNAMA

Spread the News :-
  • 4
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    4
    Shares