Rohani harap 30 peratus calon BN adalah wanita

0
23

SEPANG, 16 April – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berharap 30 peratus calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah calon wanita.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata setiap pengerusi parti komponen BN juga telah dimaklumkan supaya mempertimbangkan wakil wanita untuk bertanding pada PRU14.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri telah mengambil langkah untuk memaklumkan kepada setiap pengerusi parti komponen untuk melihat pertambahan calon wanita,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Ditanya mengenai maklum balas daripada parti-parti komponen BN mengenai perkara itu, katanya kebanyakan daripada mereka memberikan reaksi positif, namun keputusan akhir hanya akan diketahui pada hari penamaan calon PRU14 nanti.

“Kali ini, saya dengar ramai (calon wanita) tetapi saya tidak dapat pastikan. Saya fikir mereka (parti komponen BN) akan melakukan yang terbaik kerana ia juga bergantung kepada kesediaan wanita itu sendiri (menjadi calon),” katanya. – BERNAMA

Spread the News :-
  • 4
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    4
    Shares