Rebut peluang belajar disediakan kerajaan

0
54

BESUT, 14 April (Bernama) — Golongan muda digesa supaya tidak membuang masa melakukan kegiatan tidak berfaedah sebaliknya merebut peluang belajar disediakan kerajaan melalui institusi pengajian di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, yang terdapat di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata setiap tahun kerajaan mengeluarkan peruntukan besar kepada pusat-pusat pembelajaran di seluruh negara mengikut tahap kelulusan dan keupayaan orang muda agar mereka dapat mempelajari pelbagai ilmu kemahiran yang sesuai dengan pasaran pekerjaan sekarang.

Misalnya, beliau berkata pada tahun ini kerajaan mengeluarkan peruntukan RM4.9 bilion bagi pengurusan pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara berbanding RM4.2 bilion pada tahun sebelumnya.

“Kerajaan tidak mahu melihat peluang belajar yang disediakan daripada penubuhan pusat-pusat pembelajaran seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Komuniti, Politeknik dan pusat-pusat pengajian tinggi lain terbuang begitu sahaja kerana orang muda masih lalai dan leka daripada merebutnya.

“Banyak ilmu mengenai kemahiran dalam pelbagai bidang disediakan di institusi pendidikan untuk direbut oleh orang-orang muda bagi membolehkan mereka mempunyai kemahiran supaya dapat berdikari dengan membuka perniagaan sendiri,” katanya. – BERNAMA

Spread the News :-
  • 4
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    4
    Shares