PRU14: Makkal Sakti mahu bertanding empat kawasan parlimen

0
970

KUALA LUMPUR, 16 April – Berbeza dengan pendiriannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Parti Makkal Sakti tampak lebih bersemangat dan yakin menjelang PRU14 apabila menyuarakan hasrat untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di empat kawasan Parlimen. Sehubungan itu, Presidennya Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata beliau menyerahkan kepada pimpinan BN untuk membuat keputusan dan tidak mahu memberikan sebarang tekanan.

“Kami ingin bertanding atas tiket BN dan telah pun menyatakan hasrat kami itu kepada kepimpinan BN? perkara ini diputuskan selepas 10 tahun kami menjadi rakan strategik BN. Jika diberikan peluang, kami ingin bertanding pada PRU kali ini.” “Kami mempunyai calon-calon yang berwibawa dan juga muka baharu,” katanya dalam temu bual di ibu pejabat Bernama di sini, hari ini.

Thanenthiran dalam pada itu turut mengingatkan parti-parti komponen BN agar mengetepikan sentimen kepartian dan menumpukan kepada usaha untuk memastikan kemenangan BN pada PRU14. Katanya mereka seharusnya memberi kebebasan dan kepercayaan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih dan meletakkan calon yang diyakini boleh menang.

“Semua (komponen) perlu berikan persetujuan supaya dapat memilih ‘winnable candidate’ dan dapat meyakinkan masyarakat bahawa mereka (calon-calon) benar-benar boleh buat kerja.” “Parti komponen tidak perlu kecil hati atau merasa kerusi mereka ditarik hanya kerana selama ini mereka bertanding di kawasan tersebut. Pada akhirnya, yang akan menang ialah calon BN, bukan parti (komponen). Ini yang lebih penting untuk kembalikan dua pertiga majoriti di Parlimen,” tambahnya. – BERNAMA

Spread the News :-
  • 1.4K
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1.4K
    Shares