Persempadanan Semula: Perlu Akur Keputusan Mahkamah Persekutuan – TPM

0
90

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua pihak akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Beliau berkata keputusan yang dibuat adalah mengikut perundangan dan garis panduan sedia ada, justeru ia tidak harus dipertikaikan. “Kita harus mematuhi keputusan dibuat mahkamah dan tindakan susulan harus dilakukan SPR. Kami sebagai kerajaan juga akur dengan sebarang keputusan dibuat mahkamah. “Parti politik harus akur dengan keputusan mahkamah kerana ia mengikut sistem perundangan dan garis panduan dalam Perlembagaan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis prapelancaran Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa cadangan SPR untuk melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata tindakan SPR berhubung urusan persempadanan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak, oleh itu tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman. Md Raus dilapor menyatakan demikian dalam keputusan menolak dua permohonan dikemukakan dua anggota Parlimen DAP dari Perak dan tujuh pengundi dari Melaka bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang tidak menyebelahi mereka berhubung semakan semula kehakiman.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.