Parlimen: Konsep Wasatiyyah Dicadang Disisipkan Dalam Kurikulum Pembelajaran

0
197
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dicadang disisipkan dalam kurikulum sekolah dan universiti bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap konsep berkenaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata kerajaan juga sedang berusaha mengumpulkan ilmuan daripada semua agama di negara ini bagi membincangkan konsep wasatiyyah untuk dijadikan amalan dan cara hidup terbaik rakyat negara ini.

“Memang kalau kita selidik semua agama, setiap agama itu ada amalan-amalan yang boleh dikatakan universal walaupun kita berbeza dari segi akidah tetapi dari segi nilai kebersamaan, agama Kristian ke, agama Buddha ke, ada maksud kesederhanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) mengenai sama ada kerajaan bercadang menerapkan konsep wasatiyyah dalam kurikulum pembelajaran dan memanggil cerdik pandai agama untuk membincangkan konsep kesederhanaan, pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Katanya kerajaan sedar usaha untuk menerapkan konsep wasatiyyah dalam kalangan masyarakat Malaysia dan dunia adalah sukar berbanding menerapkan nilai kebencian.

“Ini merupakan satu cabaran yang amat besar bagi kita sebab untuk menimbulkan kemarahan, malah kebencian adalah lebih mudah daripada kita mengajak orang mengamalkan nilai-nilai murni yang dituntut dalam Islam seperti wasatiyyah,” katanya.- BERNAMA

Spread the News :-
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •