Ijazah undang-undang USIM pengiktirafan sementara

0
284

KUALA LUMPUR: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang yang ditawarkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ketika ini hanya diberi pengiktirafan sementara di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, berkata pengiktirafan sepenuhnya akan diberi apabila USIM memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LKPU) Malaysia.

Katanya, kementerian turut memfailkan permohonan kepada LKPU untuk mempercepatkan proses penilaian bagi memastikan graduan yang mengikuti program berkenaan diperakui mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166).

“Bagaimanapun, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada USIM adalah setaraf dengan mahasiswa lain yang mengikuti pengajian sama di enam Universiti Awam (UA) di negara ini.

“Graduan lulusan USIM (Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang) boleh menyandang jawatan sebagai peguam di sektor awam dan swasta selepas lulus peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP),” katanya menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin meminta perincian mengenai bilangan UA di Malaysia yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang tetapi belum diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak berkaitan.

Kain Ching berkata, LKPU sudah membuat semakan semula pada bulan ini dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penilaian.

Menjawab soalan tambahan Takiyuddin, beliau berkata, cadangan supaya peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) dijalankan di luar negara bagi mahasiswa yang menuntut di seberang laut sepatutnya diketengahkan kepada Majlis Dekan Undang-Undang di setiap UA.

“Badan ini ditubuh untuk membincangkan isu berkaitan undang-undang termasuk persoalan mengenai pengiktirafan, justeru mereka boleh mengelolakan cadangan berkenaan,” katanya.

Spread the News :-
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •