Ekonomi Malaysia punyai asas kukuh – Najib

0
607

EKONOMI Malaysia mempunyai asas kukuh walaupun dalam suasana global yang tidak menentu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada sekumpulan pengurus dana terkemuka di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneruskan dasar fiskal berhemat, mengekalkan nisbah hutang negara di bawah 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berjimat dalam perbelanjaan dan mengekalkan lebihan akaun semasa.

“Malaysia mempunyai prospek yang baik. Mengambil kira keadaan mencabar ini, prestasi kami masih baik,” katanya berucap pada siri jelajah Bursa Malaysia dan Bank Pelaburan Maybank, Invest Malaysia, di sini.

“Melangkah ke hadapan, kami yakin dasar yang tidak berubah akan membolehkan kejayaan dicapai.

“Saya tahu banyak perkara yang diperkatakan tetapi jika anda melihat melangkaui semua itu dan lebih mendalam terhadap Malaysia, kami mempunyai asas kukuh dan lama-kelamaan, pasaran akan menyedari hakikat itu,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, nilai ringgit akan pulih walaupun ketika ini rendah berbanding dolar Amerika.

Perdana Menteri berkata, pengurus dana cenderung untuk mengkelaskan Malaysia dalam kalangan pasaran meningkat naik.

“Malaysia memiliki asas tertentu yang membezakannya daripada pasaran meningkat naik yang lain,” katanya.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan; dan CEO Bank Pelaburan Maybank, John Chong.

Siri jelajah `Invest Malaysia 2016: Conversation Series’ itu diadakan di tiga hab kewangan terkemuka dunia sebelum ini iaitu Hong Kong, Singapura dan London.

Kumpulan berkenaan telah menemui 103 pelabur pengurus dana daripada 79 dana dengan aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai lebih AS$20 trilion, dengan hampir 95 peratus daripadanya adalah dana `jangka panjang’ sahaja.

Ini kali pertama pengurus dana berpangkalan di San Francisco berpeluang berbincang dengan Najib menerusi sesi tertutup.

Seramai 16 pengurus dana daripada 11 syarikat pengurusan dana menghadiri sesi berkenaan. Mereka mengendalikan dana berjumlah AS4.5 trilion.

San Francisco adalah pusat kewangan di barat Amerika Syarikat. Banyak firma broker dan perbankan mempunyai pejabat di sini manakala syarikat seperti Charles Schwab and Franklin Templeton Investments mempunyai ibu pejabat di San Francisco.

Sebagai pintu masuk ke Lembah Silikon, San Francisco mempunyai fokus khusus dalam sektor teknologi dan Bay Area adalah ibu pejabat global bagi industri modal teroka.

Wahid yang bertanggungjawab bagi perancangan ekonomi, berkata semua mesyuarat bersama pengurus dana di hab kewangan lain mendapat sambutan memberangsangkan.

“Mereka berpendapat kita bertindak proaktif dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 dan langkah meningkatkan hasil yang banyak membantu bagi menampung kekurangan RM9 bilion dari segi pendapatan.

“Bagaimanapun, mereka menyatakan kebimbangan terhadap ekonomi China yang perlahan dan berkemungkinan mencetuskan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan global,” katanya.

Spread the News :-
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •