Cadang gabung RTM, Bernama – Gobind Singh

0
131

KUALA LUMPUR,Kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk menggabungkan dua entiti media milik kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di bawah satu pengurusan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, penggabungan itu bagi memboleh­kan penjimatan kos operasi kedua-dua organisasi media berkenaan.

Katanya, penjimatan kos itu juga boleh menjana dana tambahan kepada kerajaan bagi me­numpukan kerja-kerja inovasi dan pewujudan kandungan mo­den di bawah pengurusan baharu.

“Pelan penggabungan itu adalah antara cadangan yang telah dinilai dalam tempoh enam bulan yang diberikan kepada saya untuk melakukan transformasi perkhidmatan RTM. Tempoh akhir itu adalah pada Disember ini.
“Jika ia (penggabungan) berla­ku, berkemungkinan sektor be­ri­ta akan disumberkan kepada Bernama dan jika ini dapat dilakukan, kerajaan dapat mengurangkan kos di RTM dan ini bermaksud kerajaan akan dapat mengumpul dana tambahan bagi dibelanjakan untuk tujuan kandungan,” katanya seperti dipetik laporan The Malaysian Reserve di sini, hari ini.Temubual eksklusif itu bersempena sebulan perkhidmatannya sebagai menteri yang turut bertanggungjawab menjaga orga­nisasi media.

Tambah Gobind, pihak bebas sedang giat menjalankan kajian berhubung cadangan penggabu­ngan tersebut serta pilihan-pilihan lain selain keputusan muktamad akan ditentukan bergantung kepada hasil laporan kajian berkenaan.

Beliau berkata, kementeriannya juga tidak merancang untuk menjual saluran televisyen Bernama News Channel (BNC) walaupun terdapat cubaan kerajaan terdahulu untuk menswastakannya.

“Pada waktu ini, tiada perancangan untuk menjualnya iaitu BNC. Saya secara peribadi berpendapat, kerajaan boleh memper­tingkatkan lagi Bernama dan BNC berdasarkan infrastruktur yang dimiliki mereka. Itu merupakan sesuatu yang boleh digunakan bagi memperkukuhkan laporan pemberitaan nasional,” ujarnya.

Menurut Gobind lagi, projek Media City dengan kos pembinaan sebanyak RM860 juta yang dijalankan berhampiran Angka­sapuri telah berjalan lancar dan RTM dijangka berpindah ke ke­mu­dahan terbaharu itu pada April tahun depan.

Katanya, projek berkenaan terbahagi kepada empat bahagian dan hanya terdapat sedikit kerja-kerja tertangguh setakat ini.

“Saya amat mengambil berat terhadap perubahan dan proses menyegarkan semula RTM. Kita tidak mahu dengan kemudahan baharu di Media City ini akan dibawa dengan konsep RTM yang sama. Itu yang perlu kita lakukan sekarang,” jelasnya.-Utusan Online

Spread the News :-
  • 9
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    9
    Shares