Ahmad Kamarulzaman terima anugerah tertinggi ketenteraan Pakistan

0
92

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dianugerahkan Pingat Nishan-E-Imtiaz Military oleh Angkatan Tentera Pakistan. Anugerah itu disampaikan Presiden Pakistan, Mamnoon Hussain selepas Ahmad Kamarulzaman mengadakan lawatan rasmi ke negara itu selama lima hari bermula semalam bagi mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Pakistan. Ahmad Kamarulzaman berkata, penganugerahan pingat tertinggi itu adalah pengiktirafan Kerajaan Pakistan terhadap usaha diplomasi pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). “Saya yakin ia dapat merapatkan lagi perhubungan dua hala ketenteraan, khasnya antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Pakistan.

“Saya berasa rendah diri dan bangga kerana penganugerahan pingat ini adalah penghormatan kerajaan dan Tentera Laut Pakistan terhadap Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Pingat Nishan-E-Imtiaz Military dianugerahkan sebagai penghormatan kepada pemimpin kerajaan dan kenamaan asing yang dianggap penting serta bertaraf antarabangsa. Ahmad Kamarulzaman berkata, dasar negara yang konsisten dan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang sederhana tetapi berpengaruh adalah elemen penting diplomasi pertahanan yang efektif. “Ini satu mesej yang sangat jelas bahawa dalam kita mengharungi cabaran keselamatan dan geo strategik yang tidak menentu, Malaysia dilihat sebagai satu rakan strategik yang boleh dipercayai, komited serta ikhlas,” katanya. – BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.