Warga emas duduki peperiksaan kali ke-15

0
225

Nanjing: Seorang lelaki berusia 86 tahun dilapor menduduki gaokao, peperiksaan memasuki kolej yang terkenal sukar, untuk kali ke-15, pada Ahad dan Isnin lalu.

Wang Xia menamatkan sekolah menengahnya pada 1949. Kali pertama dia menduduki gaokao ialah pada 1954, tetapi gagal.

Dia enggan mengaku kalah dan menduduki peperiksaan itu tiga kali lagi pada 1955, 1956 dan 1960.

Selepas gagal keempat-empat cubaan itu, Wang mengambil keputusan meneruskan kariernya sebagai ahli farmasi.

Pada masa sama, ketika Revolusi Kebudayaan dilancarkan, universiti berhenti mengambil pelajar menerusi peperiksaan.

Apabila gaokao dilaksanakan semula pada 1977, hanya mereka yang belum berkahwin dan berusia bawah 25 tahun dibenarkan mendudukinya.

China menghapuskan had umur itu pada 2001. Langkah itu mendorong Wang, ketika itu berusia 72 tahun, mencuba sekali lagi menduduki peperiksaan berkenaan.

Dia masih bersemangat walaupun gagal pada 2002.

Wang memberitahu wartawan Isnin lalu, dia menjadi ahli farmasi selama 40 tahun, tetapi memerlukan diploma untuk membuktikan kelayakannya. – Agensi

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here