Wanita, Kanak-Kanak Elak Terlibat Perhimpunan Bersih 4.0 – Rohani

0
414

PUTRAJAYA, 25 Ogos – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menasihatkan orang ramai terutama wanita supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang dijangka diadakan di beberapa lokasi seluruh negara 29 Ogos ini.

Beliau berkata ibu bapa juga tidak seharusnya membawa kanak-kanak ke lokasi perhimpunan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini jika berlaku sebarang kekecohan.

“Saya harap wanita tidak terlibat dalam perhimpunan haram ini sebab kalau berlaku sesuatu di luar kawalan, ia akan memburukkan keadaan.

“Kalau yang bawa anak pula ia akan mengundang bahaya kerana jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, lepas itu mula menuding jari kepada pihak lain. Ini tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015 Peringkat Kebangsaan oleh Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, di sini hari ini.

Rohani berkata orang ramai tidak sepatutnya menyertai perhimpunan seperti itu ketika negara hendak menyambut Hari Kebangsaan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here