Umno Pinda Perlembagaan Tahun Depan – Hishammuddin

0
161

KUALA LUMPUR: Umno akan mengadakan perhimpunan khas tahun depan bagi meminda perlembagaannya sebelum menghadapi pemilihan parti akan datang, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut beliau, penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan yang diumumkan Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini memberi ruang kepada Biro Perlembagaan dan Perundangan yang dipengerusikannya untuk melakukan penambahbaikan.

“Bagi biro…penangguhan itu sangat baik sebab kami memerlukan masa untuk dapatkan maklum balas bagi melakukan penambahbaikan kepada perlembagaan yang kita pinda sebelum ini.

“Pengalaman (pemilihan) 2013 perlu dijadikan panduan dan itu memerlukan perhimpunan khas untuk buat pindaan…jadi sangat tight jika pemilihan diadakan tahun depan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Perlembagaan dan Perundangan Umno di Menara Dato’ Onn di sini, Khamis.

Sebelum ini MT Umno mengumumkan penangguhan pemilihan parti itu yang sepatutnya diadakan pada 2016 selama 18 bulan berdasarkan Fasal 10.16 bagi memberi ruang kepada usaha memberi khidmat dan kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata penangguhan pemilihan Umno juga melegakan pihaknya khususnya bagi melakukan penambahbaikan terhadap proses pemilihan sedia ada selepas pindaan Perlembagaan Umno pada 2009.

“Kita sudah lalui pemilihan 2013 atas pindaan perlembagaan yang baharu. Ketika pemilihan yang lalu sudah pasti wujud kekangan dan kelemahan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab biro ini untuk menambah baik perlembagaan yang dipinda sebelum ini demi menjadikan Umno lebih inklusif berlaku secara berterusan namun pada yang sama mesti realistik.

“Penangguhan ini melegakan saya sebagai Pengerusi Biro Perlembangaan dan Perundangan. Kalau tidak kita mesti adakan mesyuarat khas sebelum pemilihan tahun depan untuk membuat penambahbaikan walhal kita masih lagi mendapat maklum balas daripada akar umbi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here