Seks Luar Tabii, Penggangur Dipenjara 20 Tahun

0
518

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Seorang penggangur dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas dua tuduhan termasuk melakukan seks luar tabii terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun di sebuah surau, Disember tahun lepas.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman itu terhadap Nik Mohd Zamrie Nik Omar, 37, selepas dia menukar pengakuan dengan mengaku bersalah hari ini.

Dia dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana melakukan seks luar tabii terhadap kanak-kanak perempuan itu di sebuah surau dekat Ampang di sini pada 12 tengah hari, 3 Dis tahun lepas.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377c Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan terhadap Nik Mohd Zamrie kerana melakukan samun terhadap mangsa dengan menunjukkan objek yang menyerupai pistol sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan sebuah telefon bimbit jenis Lenovo dan wang tunai RM6 pada masa dan tempat sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Sesyen 392/397 kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Hakim merintahkan kedua-dua hukuman penjara tersebut berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Dis tahun lepas.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Suraiya berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa tertuduh perlu diasingkan daripada masyarakat dan perlu menjalani hukuman penjara untuk dia memperbaiki dirinya dari segi rohaniah.

Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, Nik Mohd Zamrie, yang tidak diwakili peguam, berkata dia tidak berniat untuk melakukan kesalahan itu kerana berada dalam keadaan tidak sedar disebabkan menghidu gam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang ketika itu sedang bermain di sekitar surau bersama seorang lagi rakan perempuannya telah meminta kebenaran daripada tertuduh, ketika itu berada dalam surau untuk bermain batu seremban dalam surau berkenaan.

Tertuduh kemudiannya bertindak mengacukan satu pistol mainan di hadapan muka mangsa sambil berkata: “Kalau awak tidak mahu ikut perintah saya, nanti saya tembak” sebelum mengambil telefon bimbit dan wang tunai RM6 milik kanak-kanak perempuan itu.

Tertuduh juga melakukan seks luar tabii terhadap mangsa dan memberi amaran mangsa akan ditembak sekiranya beliau menjerit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Zawawi. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here