Monday, May 29, 2017
Home BM ‘Saya mahu sumbangkan emas Olimpik pertama Malaysia’ – Chong Wei

‘Saya mahu sumbangkan emas Olimpik pertama Malaysia’ – Chong Wei

0
197

RIO DE JANEIRO 3 Ogos – Ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei melangkah ke Sukan Olimpik terakhirnya dengan impian menyumbang pingat emas pertama Malaysia bagi melengkapkan kemuncak karier hebatnya.

Pemain ranking pertama dunia berusia 34 tahun itu percaya beliau masih memiliki kekuatan untuk melakukannya walaupun ramai pengkritik mahukannya menggantung raket.

Tanpa kejayaan pingat emas Olimpik sejak membuat penampilan pada edisi 2004, pilihan utama itu bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada temasya sukan paling utama di dunia di Rio, dengan merangkul emas yang diidamkanya selepas jaguh China, Lin Dan menjadi penghalang dalam dua aksi final terdahulu.

“Saya masih mampu bermain bermati-matian dan melakukannya,” kata Chong Wei selepas majlis menaikkan bendera negara di Perkampungan Sukan di sini, pada Selasa.

Ketika temasya di Rio memberikannya kesempatan terakhir melengkapkan penguasaannya, Chong Wei yang nampak cukup tenang berkata isteri dan dua anak lelakinya adalah sumber kekuatannya selepas kembali beraksi sebaik menamatkan penggantungan lapan bulan akibat doping tahun lalu.

Beliau menyifatkan kejayaannya bangkit daripada penggantungan akibat doping yang merampas status pemain nombor satu dunia yang dipegangnya selama enam tahun, adalah atas sokongan isterinya, Wong Mew Choo yang juga merupakan bekas pemain negara.

“Saya tidak mungkin berada di sini sekarang selepas kontroversi yang menyebabkan saya diuji positif kerana menggunakan bahan larangan,” katanya. Beliau berkata isterinya memberikannya semangat ketika dirinya mula diketepikan apabila digantung kerana didapati positif menggunakan dadah anti radang jenis dexamethasone sewaktu Kejohanan Dunia di Copenhagen pada Ogos 2014.

“Tiada sesiapa memahami kecuali isteri yang juga merupakan seorang pemain…dialah yang memberikan semangat ketika saya melalui detik sukar,” katanya. Chong Wei berkata kritikan daripada pelbagai pihak turut memberikannya lebih semangat untuk bangkit semula selepas penggantungan lapan bulannya bagi merampas kembali posisi pemain nombor satu dunia sebaik dibenarkan beraksi pada Mei tahun lepas.

Ditanya apa rahsia semangatnya yang begitu tinggi di Rio, Chong Wei berkata kata-kata dorongan daripada isterinya menerusi panggilan telefon serta perbualan menggunakan aplikasi skype dengan anaknya, Kingston, 3, dan Terrence, 1, yang dilakukan setiap hari mengekalkan semangat tingginya.

Chong Wei akan beraksi dalam Sukan Olimpik keempat dan terakhir untuknya sebagai bapa kepada dua anak lelaki yang dilahirkan selepas Sukan Olimpik 2012. Beliau dijangka menentang musuh utamanya, Lin Dan di separuh akhir dalam saingan kali ini.

Mengenai peluangnya menentang Lin Dan, Chong Wei berkata beliau hanya mahu memikirkan satu perlawanan pada satu masa iaitu bermula dengan saingan peringkat kumpulan. Chong Wei juga percaya beliau telah bertambah matang dan pengalamannya cukup untuk memenuhi impiannya di Rio. Acara badminton akan bermula pada 11 Ogos. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here