“Saya kecewa dengan Tun Mahathir” – Hishammuddin

0
479

Kuala Lumpur, 30 Ogos 2015 (MyTimes) – Menteri Pertahanan Malaysia, Dato Seri Hishammuddin hari ini melahirkan rasa kecewanya terhadap tindakan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohammad yang hadir perhimpunan bersih pada lewat petang semalam.

Tambahnya beliau, Tun Mahathir telah menlanggar prinsip perjuangan yang telah diilhamkan dan dipegang oleh Tun Mahathir sewaktu zaman beliau memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia. “Ketika demonstrasi besar-besaran pada tahun 1998, iaitu ketika zaman pentadbiran beliau (Tun Mahathir), beliau secara jelas menyatakan bahawa demonstrasi jalanan bukanlah pendekatan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, apatah lagi menjatuhkan kerajaan” kata Dato Seri Hishammuddin melalui kenyataan akhbar.

Hishammuddin juga berkata, Kerajaan Malaysia tidak pernah menyekat kebebasan Tun Mahathir untuk menyuarakan pandangan beliau di mana – mana platform. (MyTimes)

Salinan Penuh Kenyataan Media :

YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein
Menteri Pertahanan Malaysia

Sepanggar, 30 Ogos 2015

1. Saya kecewa dengan tindakan Tun Mahathir, tokoh yang amat saya hormati, kerana telah turun ke pentas pembangkang semalam.

2. Bagi saya, beliau telah melanggar prinsip perjuangan yang beliau pegang selama ini. Tindakan beliau jelas bertentangan dengan nilai-nilai yang beliau ketengahkan kepada pejuang UMNO dan rakyat kesuluruhan semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Nilai-nilai inilah yang kita dan institusi kita pertahankan selama ini.

3. Ketika demonstrasi besar-besaran pada tahun 1998, iaitu ketika zaman pentadbiran beliau, beliau secara jelas menyatakan bahawa demonstrasi jalanan bukanlah pendekatan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, apatah lagi menjatuhkan kerajaan.

4. Kita semua tahu bahawa Bersih merupakan perhimpunan yang salah di sisi undang-undang. Malah, lebih teruk, Bersih kali ini telah menggugat keharmonian negara kerana diadakan di saat negara bersiap sedia menyambut kemerdekaan.

5. Selama ini, kita tidak pernah menyekat Tun Mahathir untuk menyuarakan pandangan beliau di mana-mana platform sekalipun.

6. Tetapi tindakan beliau bersekongkol di pentas pembangkang semalam tidak boleh diterima sama sekali. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

7. Mungkin Tun Mahathir tidak bersetuju dalam beberapa isu, tapi janganlah sampai merobohkan apa yang beliau sendiri telah sama-sama bina selama ini. Jangan kerana seekor nyamuk, habis kelambu dibakar.

8. Beliau pasti sedar kesan keselamatan dan bahayanya jika demonstrasi jalanan dibiarkan berleluasa. Banyak negara di dunia tumbang bila mana pemimpin dijatuhkan melalui demonstrasi jalanan. Akhirnya rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa. Inikah matlamat yang ingin dicapai oleh seorang negarawan yang disanjung?

– tamat –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here