Sanjay Sasar Status Pemain No.1 Negara Menjelang 2018

0
170

MIRI : – Pemenang dua emas Sukan SEA Singapura 2015, Sanjay Singh Chal telah menetapkan sasaran untuk menjadi pemain skuasy nombor satu negara menjelang 2018, sama seperti rakan senegeri, Mohd Azlan Iskandar.Bagi mencapai impian itu, pemain kelahiran Miri ini kini sedang menggilap kemahiran dalam sukan itu di England, sekali gus berusaha untuk memperbaiki kedudukan ranking keempat negara dan 115 di dunia.

“Saya sedang mengikuti latihan sejak enam bulan lepas di England di bawah jurulatih Robbie Temple,” kata pemain berusia 21 tahun itu kepada Bernama di sini.Pencapaian Sanjay dalam sukan itu cukup memberangsangkan iaitu pemain junior nombor satu negara serta mewakili Malaysia dalam Kejohanan Remaja Asia, Kejohanan Remaja Asia Berpasukan, Terbuka Remaja British, Piala Dunia Bawah 21 Tahun, Sukan Universiti Dunia, Kejohanan Dunia Lelaki Berpasukan dan Kejohanan Individu Senior Asia.

Pada masa ini, Sanjay berkata beliau cuba berusaha keras untuk mengimbangi tugasnya sebagai pemain kebangsaan dan juga pelajar mengikuti program diploma pengurusan perniagaan.”Saya mungkin terlepas beberapa sesi latihan kerana mengikuti kelas atau menghabiskan masa tambahan di gelanggang pada waktu jauh malam,” kata anak sulung daripada dua adik-beradik yang mula diperkenalkan kepada sukan itu pada usia sembilan tahun.

Sebagai peminat tegar Mohd Azlan, bekas pemain nombor satu negara dan pemain nombor 10 dunia, Sanjay berkata idolanya antara mereka yang sentiasa memberi sokongan dan motivasi kepada beliau.Beliau menasihatkan mereka yang berhasrat menjadi pemain profesional supaya bersedia membuat pengorbanan serta bersedia mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mencapai impian mereka. — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here