RM100 Juta Tingkat Sosioekonomi India – Najib

0
358

PUTRAJAYA, 5 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan dana bernilai RM100 juta bagi Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) untuk meningkatkan sosioekonomi golongan India berpendapatan rendah.

Pengarah SEDIC Prof Datuk Dr N.S.Rajendran berkata unit khas yang ditubuhkan Mei lalu, merupakan satu lagi usaha murni kerajaan untuk mewujudkan peluang bagi meningkatkan taraf hidup 40 peratus daripada kira-kira 2.6 juta kaum India.

Beliau berkata dana itu akan disalurkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi latihan kemahiran yang dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, dan bukannya kepada individu atau mana-mana parti politik.

Katanya, SEDIC mengenal pasti 11 skop cadangan program melibatkan keperluan utama masyarakat India, antaranya isu sekolah Tamil, dokumentasi, kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi, belia berisiko tinggi serta penyertaan kaum India dalam sektor awam.

“SEDIC akan memastikan dana yang disediakan ditadbir urus dengan efisien, telus dan teratur supaya golongan sasaran yang sangat memerlukan intervensi tidak ketinggalan dan menerima manfaat positif daripada usaha kerajaan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, Jumaat.

Rajendran menjelaskan lebih 600,000 masyarakat keturunan India di negara ini berada pada tahap paras bawah 40 peratus (B40) dalam 38 daerah di sembilan buah negeri, berpendapatan kurang daripada RM2,537 sebulan.

Katanya, setiap permohonan yang dibuat oleh NGO dan institusi latihan kemahiran akan melalui tiga peringkat sebelum diluluskan perdana menteri dan dana akan dibiayai Pejabat Perdana Menteri melalui Kementerian Kewangan.

“NGO dan institusi latihan kemahiran hendaklah mengikut garis panduan yang dinyatakan dalam skop cadangan program dan ia boleh dimuat turun melalui laman web SEDIC di http://www.sedic.my mulai 9 Jun ini,” katanya.

Rajendran turut mengingatkan, jawatankuasa SEDIC akan membatalkan perjanjian persefahaman dengan mana-mana NGO atau institusi latihan kemahiran sekiranya mereka menyalahgunakan wang yang disalurkan untuk membantu masyarakat India.

“Sekiranya mereka menggunakan wang itu untuk tujuan lain, SEDIC akan meminta mereka membayar semula wang itu serta kami akan mengambil tindakan terhadap mereka,” jelas beliau.

Justeru, beliau berkata SEDIC turut mengadakan jerayawara di empat negeri iaitu Putrajaya pada 10 Jun; Johor Baharu, Johor (11 Jun); Sungai Petani, Kedah (17 Jun) dan Ipoh, Perak (19 Jun). – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here