Remaja mati dipukul kerana mencuri

0
137

MELAKA: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat dari Taman Tangkak Jaya, Tangkak, Johor meninggal dunia di Hospital Melaka, malam kelmarin, selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah hentian bas di Ayer Keroh, di sini.

Arunasalam, 16, ditemui oleh dua orang awam sebelum membawa mangsa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, berkata mangsa yang dirawat di zon merah diberi bantuan pernafasan kira-kira 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pemeriksaan ke atas mangsa menemui kesan lebam dan birat di kedua-dua belah tangan serta belakang badan mangsa.

“Tiada pengenalan diri ditemui pada mangsa yang lengkap berpakaian,” katanya ketika dihubungi, petang ini.

Tinjauan BH di Hospital Melaka mendapati mayat mangsa masih berada di Jabatan Forensik bagi proses bedah siasat.

Beberapa individu yang dipercayai ahli keluarga mangsa turut berada di lobi Jabatan Forensik, tetapi enggan ditemubual.

Kamaluddin berkata, siasatan lanjut dan punca kejadian masih disiasat.

“Polis sudah mengambil beberapa keterangan saksi termasuk ibu mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sejak semalam, tiga video berdurasi kira-kira seminit setiap satu tersebar luas di Facebook yang memaparkan seorang remaja lelaki dipukul dipercayai kerana dipercayai mencuri duit datuknya.

Dalam video berkenaan, remaja yang tidak berbaju itu dilihat dipukul menggunakan getah paip sambil kali merayu dan menangis.

Mengulas kandungan video berkenaan, Kamaluddin berkata, pihaknya sedang menyiasat kesahihannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here