POTA kuat kuasa hari ini

0
355

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) berkuat kuasa secara rasmi Selasa.

Beliau berkata penguatkuasaan POTA itu selaras dengan pembentangan Kertas Putih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 November 2014 bertajuk ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Militan Islamic State’ di Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata susulan daripada itu, kerajaan telah pun membentangkan Akta Pencegahan Keganasan 2015 [Akta 769] di Parlimen pada sesi Mac 2015 lalu, yang boleh digunakan pihak berkuasa bagi memastikan tiada individu yang terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya melibatkan diri dalam perbuatan keganasan.

“Akta 769 tersebut telah pun diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 28 Mei 2015 dan berkuatkuasa secara rasmi pada 1 Sept 2015,” katanya dalam satu kenyataan Selassa malam.

Beliau berkata dalam penggubalan akta itu, terdapat satu undang-undang baharu yang turut digubal di samping beberapa pindaan selari yang dibuat terhadap empat undang-undang sedia ada.

Ahmad Zahid berkata ia bertujuan untuk memastikan undang-undang tersebut benar-benar mantap dan komprehensif agar anasir-anasir ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Katanya Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 [Akta 770] (SMATA) iaitu undang-undang baharu yang membenarkan Ketua Pengarah Imigresen menggantung atau membatalkan dokumen perjalanan yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia, yang terlibat dalam organisasi pengganas tersenarai di sesuatu negara asing atau di mana-mana bahagian sesuatu negara asing.

Beliau berkata Menteri diberi kuasa untuk mengeluarkan suatu perintah menuntut penyerahan dokumen perjalanan asing milik seseorang bukan warganegara Malaysia, yang terlibat dengan pengganas di sesuatu negara asing, dan diserahkan kepada polis serta ditahan 14 hari untuk proses siasatan.

Katanya, empat pindaan selari tersebut adalah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 (KK); Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA); dan Akta Penjara (Pindaan) 2015.

“Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA), Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 (KK) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA) telah pun dikuatkuasakan pada 15 Jun 2015,” katanya.

Beliau berkata Akta Pencegahan Keganasan 2015 ini dikuatkuasakan bersekali dengan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 dan Akta Penjara (Pindaan) (No.2) 2015 iaitu pada 1 September 2015.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here