Monday, May 29, 2017
Home BM Polis berkas empat lelaki termasuk seorang warga tempatan dalam penyeludupan senjata api

Polis berkas empat lelaki termasuk seorang warga tempatan dalam penyeludupan senjata api

0
189

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Mungkinkah kumpulan militan Daesh mula menyeludup masuk senjata api untuk kegunaan anggotanya di negara ini? Itulah persoalan yang timbul berikutan salah seorang daripada empat lelaki yang ditahan dalam operasi bermula 2 Ogos sehingga Sabtu lalu didapati mempunyai rekod menyeludup senjata api ke negaranya.

Malah, lelaki warga Bangladesh berusia 37 tahun yang juga merupakan pemilik sebuah restoran di Bukit Bintang di sini turut dimasukkan ke dalam senarai merah individu dikehendaki oleh Polis Antarabangsa (Interpol). Sumber memberitahu, pihak berkuasa masih menyiasat penglibatannya dalam kegiatan menyeludup senjata ke negara ini.

“Suspek telah masuk ke negara ini secara sah sejak 2009 lagi dan terlalu awal untuk kita katakan lelaki ini turut terlibat dalam penyeludupan senjata api ke negara ini memandangkan siasatan setakat ini tidak dapat mengesahkan perkara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, turut ditahan bersama suspek warga Bangladesh itu ialah tiga lagi individu yang terdiri daripada warga Nepal, Maghribi dan seorang warga tempatan. Kesemua mereka berusia 26 tahun hingga 38 tahun. Ujar Khalid, kesemua suspek itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi yang dijalankan di dua negeri iaitu Pahang dan Selangor.

“Lelaki warga Nepal itu dipercayai mengendalikan pusat hiburan dan penginapan serta disyaki terbabit dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan bagi kegunaan anggota pengganas antarabangsa. “Susulan daripada tangkapan itu, kedua-dua suspek telah diusir ke negara asal pada 2 September lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Khalid menambah, suspek ketiga yang merupakan jurukimpal warga Maghribi pula ditahan pada 2 Ogos lalu dan dia sebelum ini dikatakan pernah diberkas oleh pihak berkuasa Turki ketika cuba menyusup masuk ke Syria pada Februari lalu. “Namun, sebaik sahaja dibebaskan, suspek telah menyusup masuk ke Malaysia pada awal Mei lalu sebelum ditahan dan diusir pulang ke negara asal pada Rabu lalu.

“Dalam pada itu, suspek warga tempatan berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pemandu peribadi ditahan kerana mempunyai hubungan dengan Mohamad Wanndy Mohamad Jedi dan dikesan aktif mempromosikan kumpulan Daesh menerusi akaun Facebook miliknya,” jelasnya.

Tambah Khalid, kesemua suspek ditahan kerana disyaki me­lakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here