PM Singgah Kilang Bateri

0
238

JOHOR BAHRU – Masyarakat setempat di sini tidak melepaskan peluang untuk mendekati dan bergambar dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sempena program mesra bertemu rakyat di Kilang Bateri di sini, malam ini.

Perdana Menteri, yang diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad tiba pada jam 9.40 malam.

Najib kemudian mengadakan lawatan dan bertemu pengunjung serta peniaga di pusat perniagaan 100 peratus milik Bumiputera itu.

Beliau dalam ucapan ringkasnya, berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Khazanah Nasional Bhd untuk memberi bantuan khas berbentuk geran kepada peniaga kecil dan peniaga muda.

“Esok saya akan mengumumkan secara terperinci bantuan bagi membantu usahawan muda dalam bentuk geran melalui Khazanah Nasional.

“Bantuan ini kelak diharap dapat membantu usahawan muda untuk terus maju dan berjaya,” katanya.

Najib berkata Kilang Bateri adalah hasil inovatif anak muda yang berupaya melahirkan pusat perniagaan kreatif sehingga diiktiraf sebagai nadi Johor Bahru.

“Saya amat berbangga dengan usaha yang diambil sekumpulan anak muda ini,” katanya.

Perdana Menteri, yang berada di bandar raya ini untuk lawatan kerja dua hari itu meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dengan lebih 500 pengunjung di situ.

Kilang Bateri, yang dahulunya cukup sinonim dengan penghasilan bateri jenama ‘Eveready’, tetapi kini ia berubah wajah menjadi tempat bersantai serta menjamu selera popular di bandar raya ini.

Kilang Bateri, yang merangkumi kira-kira 184 gerai makanan, minuman, pakaian, pusat kecantikan dan kedai buku, menjadi antara destinasi popular di sini.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here