PM Najib Pengerusikan Dialog Meja Bulat Dengan Pakar Ekonomi IPTA, IPTS

0
121

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempengerusikan perbincangan dialog meja bulat ekonomi dengan pakar-pakar ekonomi daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di bangunan Parlimen di sini.

Najib tiba kira-kira 11 pagi di bilik mesyuarat tingkat empat bangunan itu dan kelihatan ceria bertanyakan khabar kepada mereka sebelum memberikan gaya santai kepada jurugambar dan juruvideo yang sedia menantinya.

Mesyuarat tertutup tersebut kemudian berlangsung kira-kira sejam.

Menurut senarai kehadiran, antara yang terlibat adalah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM Prof Dr Norman Mohd Saleh, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM) Prof Dr Noor Azina Ismail dan Dekan Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UITM) Prof Dr Rozainun Abd Aziz turut hadir.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata dialog itu merupakan usaha berterusan Perdana Menteri untuk mendengar maklum balas dan cadangan daripada semua segmen rakyat dan segenap lapisan masyarakat berkenaan ekonomi negara.

Menurut kenyataan itu, sesi perbincangan dengan kelompok itu adalah lanjutan daripada sesi-sesi perbincangan Jawatankuasa Khas Ekonomi yang dilaksanakan sebelum ini, bagi mengumpul maklum balas berkenaan isu-isu ekonomi yang perlu diberi perhatian dan penyelesaian oleh kerajaan.

Kenyataan itu menyebut, kerajaan akan memastikan penglibatan sebegini bersama rakyat akan dibuat secara berterusan.

“Cadangan-cadangan ini bukan sahaja mampu memberi sokongan kepada penyelesaian isu-isu ekonomi semasa, malah bagi jangka masa sederhana dan panjang seperti Dasar Ekonomi Baru, Rancangan-rancangan Malaysia, dan terkini, membantu merangka hala tuju Transformasi Nasional 2050 (TN50),” tambah kenyataan itu.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here