“Perpaduan Masyarakat India, Fokus Utama MIC Pada 2017′ – Presiden MIC

0
347

KUALA LUMPUR – Perpaduan antara komuniti India yang akan membantu mentransformasikan masyarakat itu adalah antara fokus dan azam utama MIC bagi tahun 2017.

Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata perpaduan dan kerjasama antara masyarakat India di negara ini dalam semua aspek termasuk politik penting agar komuniti tersebut mampu jalan seiring dengan pembangunan negara.

“Laluan kami mungkin berbeza tetapi matlamat kami adalah sama. Mari kita bersatu dengan satu suara dan menuju matlamat yang sama dan bersatu demi kebaikan masyarakat India.

“Saya berharap suara masyarakat India yang bersatu akan mewakili keperluan kaum India supaya kami dapat mentransformasikan masyarakat India,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata usaha meningkatkan taraf hidup kaum India di negara ini yang akan terus dilaksanakan turut menjadi agenda murni parti kaum India terbesar di negara ini pada 2017.

“Usaha itu amat jelas dan terbukti dengan penglibatan agensi kerajaan seperti Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) dan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Masyarakat India (SITF),” katanya.

Beliau menjelaskan usaha gigih melalui agensi-agensi tersebut akan dipertingkatkan lagi tahun ini bagi mencapai matlamat kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membangun dan memperkasa komuniti India.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata parti berusia 70 tahun itu juga akan menerajui semua usaha untuk melancarkan dan melaksanakan Pelan Pembangunan Kebangsaan Masyarakat India demi memastikan dasar-dasar yang telah digubal untuk kebaikan komuniti India akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Sewaktu berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-70 pada Oktober lepas, Najib mengumumkan kerajaan akan melancarkan satu Pelan Pembangunan Kebangsaan Masyarakat India pada tahun ini.

Dr Subramaniam berkata kepercayaan dan mandat yang diberikan kaum India akan menentukan masa depan MIC pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivarraajh berkata parti itu lebih agresif untuk membantu golongan belia India dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan pada tahun ini.

Beliau berkata ‘Youth Outreach Expo’ akan dianjurkan pada tahun ini bagi memberikan pendedahan dan maklumat pelbagai bidang termasuk peluang pekerjaan, bantuan kerajaan, biasiswa dan peluang pendidikan dan sebagainya.

“Ekspo ini akan menjadi satu platform untuk belia India bagi mendapatkan maklumat dan bantuan mengenai semua peluang dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan pihak swasta dalam pelbagai sektor,” katanya.

Sivarraajh menjelaskan Pelan Tindakan Belia India Malaysia yang dilancarkan pada 2 Dis lepas, juga akan membantu sayap parti itu untuk memperkasakan agenda pembangunan golongan tersebut.

Katanya, pelan tindakan khas yang merangkumi tujuh kluster termasuk pengharmonian dalam masyarakat, penjenamaan semula, peruntukan berasaskan hak dan penyebaran dan penyaluran maklumat mampan akan jadi panduan untuk membantu belia kaum itu untuk terus berjaya mengikut perkembangan ekonomi negara.

Ketua Wanita MIC Datuk M. Mohana berkata sayap tersebut tekad untuk memberikan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran menjahit kepada 2,000 wanita India dengan kerjasama Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baru (NAAM).

“Tahun lepas, kita berikan latihan tersebut kepada 1,000 wanita India dan tahun ini kita berhasrat untuk tambahkan kepada 2,000 wanita India di seluruh negara,” katanya.

Mohana juga berkata gerak kerja jentera pilihan raya juga telah dimulakan di peringkat akar umbi bagi menghadapi PRU ke-14, selain memfokuskan untuk meningkatkan taraf ekonomi wanita kaum India di negara ini.

Tahun 2016 boleh disifatkan tahun yang mencatatkan beberapa peristiwa indah kepada MIC, antaranya MIC menyambut ulang tahun ke-70 penubuhannya pada 6 Ogos lepas, pelantikan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K. Devamany sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan dan penyusunan Kabinet pada 27 Jun lepas.

Selain itu, pada 9 Ogos 2016, bekas Ketua Wanita MIC Perak, S. Thangasvari dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi menggantikan Devamany yang meletak jawatan.

Naib Presiden MIC Datuk S A Vigneswaran pula mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-17 pada 26 April lepas bagi menggantikan Tan Sri Abu Zahar Ujang yang tamat perkhidmatannya. – R. Ratcharathan BERNAMA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here