Penjawat Awam Perlu Bekerjasama Berteraskan Konsep NBOS

0
346

PUTRAJAYA, 14 Ogos – Penjawat awam perlu bekerjasama berteraskan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa semangat cintakan negara sentiasa wujud dan terus didukung anggota perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata kerjasama dalam kalangan penjawat awam dengan penuh dedikasi juga amat dituntut untuk menjayakan agenda nasional demi menjayakan misi transformasi negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan bulan kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang 2015 peringkat Kompleks C di sini hari ini yang disertai kira-kira 1,000 penjawat awam.

Mengenai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Sehati Sejiwa’, Mohamad Zabidi berkata ia sangat sesuai bagi mengingatkan rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran terhadap rasa sayang serta cintakan tanah air.

“Kejayaan negara pada hari ini adalah hasil usaha tanpa jerih perjuangan pada suatu ketika dahulu bagi melihat sebuah negara bangsa yang bebas, diperintah dan ditadbir sendiri oleh rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamad Zabidi turut melepaskan konvoi 17 kenderaan jabatan di sekitar Kompleks C yang juga merupakan duta sambutan bulan kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang 2015.

Semua kenderaan berkenaan akan terus mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Ogos.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here