Pemimpin Veteran Diminta Tampil Selamatkan MIC

0
185

KUALA LUMPUR – Bagi mengelak MIC lemas lebih teruk di lautan masalah yang sedang dialaminya, para pemimpin veteran parti itu perlu memainkan peranan untuk mencari penyelesaian bagi meredakan krisis kepimpinan yang melanda parti komponan Barian Nasional (BN) itu dengan secepat mungkin.

Demikian pandangan dua tokoh MIC, yang turut menggesa agar satu perjumpaan tergempar diadakan bagi membolehkan para pemimpin veteran termasuk bekas penyandang jawatan utama dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu, mencari jalan bagi mengatasi masalah yang dihadapi.Bekas pengerusi jawatankuasa pemilihan MIC Datuk K. Vijayanathan berkata parti itu perlu segera mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapinya.
Bagaimanapun, katanya peyelesaian itu perlu boleh diterima semua anggota MIC termasuk kumpulan yang dipimpin bekas presiden Datuk Seri G. Palanivel dan pemangku presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Vijayanathan, yang menganggotai CWC parti itu sejak 1972, berkata: “Adalah amat baik sekiranya semua pemimpin veteran dapat mengadakan perjumpaan dengan kumpulan diketuai Palanivel dan Dr Subramaniam.”Ia juga membolehkan anggota veteran meneliti semula perlembagaan MIC bagi tujuan memantapkan bahagian yang masih longgar dan menyelesaikan masalah parti secara baik,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata sebagai pemimpim veteran, mereka berpengalaman luas dalam menangani pelbagai krisis yang melanda MIC sebelum ini.”Mereka patut diberi peluang untuk membantu parti sebelum krisis yang dialaminya menjadi bertambah parah dan sukar untuk diselesaikan lagi,” katanya.

Bekas setiausaha agung MIC Tan Sri G. Vadiveloo pula berpendapat perjumpaan melibatkan para pemimpin veteran dengan Palanivel dan Dr Subramaniam boleh diadakan jika semua anggota MIC bersedia menerima hasil yang dicapai kelak.”Perjumpaan ini juga boleh dijadikan platform untuk mendapatkan penjelasan tentang perlembagaan parti,” katanya.

MIC mula dilanda krisis apabila wujud perbezaan pendapat antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengeluarkan notis pada 5 Dis tahun lepas yang mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan baharu bagi tiga kerusi naib presiden dan 23 kerusi CWC.Perbalahan itu menyebabkan MIC berpecah dua dan mencapai kemuncaknya apabila Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam surat bertarikh 25 Jun kepada setiausaha agung CWC sementara MIC bagi 2009, A. Sakthivel, menyatakan bahawa secara “ipso facto”, Palanivel bukan lagi anggota MIC.

Surat itu juga menyatakan bahawa Dr Subramaniam akan mengambil alih tugas Palanivel sebagai pemangku presiden MIC. Bagaimanapun, Palanivel berkeras bahawa beliau adalah presiden MIC yang sah dan mendakwa surat RoS yang menyatakan beliau bukan lagi anggota MIC, difaham di luar konteks sebenar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here