NGO Kini Menjadi Penyelamat Kaum India Yang Memerlukan

0
692

Oleh S. Kisho Kumari

KUALA LUMPUR – Dalam keadaan MIC yang genting dengan krisis dalaman, tanggungjawab mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi kaum India di Malaysia kini diletakkan langsung kepada badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum India.

Parti berusia 68 tahun itu adalah satu daripada parti rasmi kaum India yang menjadi komponen Barisan Nasional (BN) yang sekian lama dilihat sebagai pembela nasib kaum India di Malaysia. MIC kini mengalami krisis kepimpinan yang getir sehingga menyebabkan kebajikan kaum tersebut terabai.

Pengamatan para penganalisis politik mendapati badan-badan bukan kerajaan kini menjadi harapan untuk masyarakat tersebut mendapatkan peruntukan bagi pembangunan sekolah-sekolah Tamil dan mempertingkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi mereka.

Bahkan kerajaan persekutuan sendiri mengiktiraf peranan penting NGO-NGO berkenaan dalam menaik taraf kehidupan kumpulan-kumpulan yang memerlukan dalam masyarakat itu. Pada bulan lalu, sejumlah RM100 juta diluluskan untuk pembangunan pendidikan dan sosio-ekonomi kaum India tersebut.

Satu unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri, Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), akan mengambil alih tugas pembayaran dana melalui beberapa NGO dan institusi latihan terpilih, dan bukan melalui mana-mana individu atau parti politik, menurut Pengarahnya Prof Datuk Dr N.S. Rajendran.

Beliau memberitahu Bernama bahawa SEDIC, yang ditubuhkan pada Mei tahun lalu, merupakan unit pertama diwujudkan oleh kerajaan dan dipertanggungjawab menyelaras, membayar dan memantau dana-dana khusus untuk masyarakat India.

KERTAS CADANGAN AKAN DITELITI

Difahamkan bahawa ini merupakan kali pertama sejumlah wang yang banyak diperuntukkan bagi menangani isu-isu dihadapi masyarakat India yang mundur sosio-ekonomi. Sebelum ini, kerajaan menyediakan peruntukan melalui organisasi-organisasi lain, namun, kesan ke atas kumpulan sasaran didapati sangat tidak memuaskan, justeru menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak menubuhkan SEDIC.

Berhubung kaedah pengagihan peruntukan RM100 juta itu dilakukan, Rajendran berkata NGO-NGO telah diminta supaya mengemukakan kertas cadangan masing-masing berhubung cara mereka boleh membantu kumpulan sasaran dalam satu atau beberapa skop yang dikenal pasti SEDIC, termasuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil, pengeluaran kad-kad pengenalan kepada kaum India tanpa dokumen, kemasukan ke universiti, remaja berisiko tinggi dan penyertaan kaum India dalam sektor awam.

“Kertas-kertas cadangan berkenaan akan melalui penelitian pelbagai peringkat berbeza sebelum diluluskan oleh Perdana Menteri.

“Setelah wang tersebut disalurkan kepada NGO-NGO yang berjaya, kami akan membuat susulan mengenai pelaksanaan program-program mereka, mengawasi mereka dan mengendalikan kajian keberkesanannya,” kata Rajendran, dan menambah kata bahawa hanya NGO-NGO yang berpengalaman, berkemampuan, berkemahiran dan mempunyai kebertanggungjawaban akan diberi kebenaran melaksanakan cadangan-cadangan mereka.

Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof K.S. Nathan memuji usaha kerajaan persekutuan menyalurkan dana kepada masyarakat India melalui SEDIC dan pelbagai NGO.

“Saya rasa kita tidak sepatutnya memberi tumpuan kepada masalah MIC kerana dengan berbuat demikian, perhatian kita akan beralih daripada tujuan sebenar iaitu menangani masalah masyarakat kita. Apabila berhubung perkara pemberian kuasa kepada kaum India, terbukti kita lebih mempercayai NGO-NGO berbanding parti-parti politik seperti MIC,” katanya.

NGO LEBIH RAPAT DENGAN MASYARAKAT AKAR UMBI

Beliau berpendapat masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadap parti-parti politik dan mengharapkan masyarakat sivil membantu dan membela nasib mereka.

“Buat masa ini, masyarakat sivil sedang melakukan tugas yang baik dalam membantu meningkatkan taraf hidup kaum India, terutamanya di kalangan mereka yang tercicir dalam pendidikan. Dalam hal ini, NGO seperti Tamil Foundation dan MySkills Foundation sedang melakukan tugas yang hebat,” beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.

Nathan berpendapat Sri Murugan Centre dan Yayasan Pelajaran, Kebajikan dan Penyelidikan Malaysia sebagai contoh NGO utama dalam membantu pelajar-pelajar India yang kurang berkemampuan memperbaiki pencapaian akademik dan melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi.

“Saya rasa tidak ada mana-mana parti politik yang mampu berbuat sepertimana NGO-NGO laksanakan dan terus melakukannya untuk kepentingan kaum India di negara ini,” katanya, dan menambah kata bahawa parti politik tidak sepatutnya dianggap sebagai satu-satunya sumber harapan untuk pembangunan sosio-ekonomi mana-mana masyarakat sekalipun.

NGO-NGO berkenaan, tambah Nathan, didapati lebih rapat dengan masyarakat di peringkat akar umbi dan lebih memahami kesusahan mereka.

BERHATI-HATI DENGAN GOLONGAN OPORTUNIS

Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Sarjit Singh Gill pula berkata terdapat banyak NGO berasaskan kaum India terlibat dalam membantu kaun India yang hidup di bawah garis kemiskinan.

Menurut laporan, terdapat sejumlah 40 peratus daripada 2.6 juta kaum India yang tinggal di 38 daerah dalam sembilan negeri di negara ini hidup dengan pendapatan kurang daripada RM2,537 sebulan.

Sarjit Singh berkata kaum India itu sangat memerlukan seorang pemimpin yang boleh memahami kesusahan dan membantu mereka.

“Sekiranya bantuan tidak diperoleh daripada MIC, pastinya mereka akan beralih kepada NGO-NGO atau parti-parti pembangkang,” ujar beliau.

Sementara itu, aktivis sosial Dr R. Nambiar berpandangan bahawa krisis MIC yang berlarutan akan menggalakkan penubuhan parti-parti politik baharu atau organisasi-organisasi yang mendakwa pakar dalam kebajikan masyarakat India.

“Kita hendaklah berhati-hati dengan golongan oportunis ini,” kata Nambiar, yang merupakan pensyarah di Universiti Terbuka Malaysia.

Krisis MIC tercetus Disember lepas berikutan pergeseran pendapat di antara bekas presiden parti Datuk Seri G. Palanivel dan Pemangku Presiden Datuk Seri S. Subramaniam berhubung notis Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mengarahkan supaya parti itu mengadakan pemilihan semula untuk jawatan-jawatan tiga naib-presiden dan 23 Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat.

RoS telah membatalkan pemilihan yang diadakan pada November 2013 berikutan aduan berlakunya penyelewengan.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here