#Negaraku: KKMM Komited Pastikan Setiap Rakyat Mempunyai Akses Interne

0
204

BAGAN SERAI, 2 April (Bernama) — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses kepada internet menjelang 2020 tercapai.

Timbalan Ketua Setiausahanya Datuk Dr Mohd Ali Mohammad Nor berkata setakat ini hampir 94 peratus penduduk di Semenanjung mempunyai akses kepada internet, namun di Sabah dan Sarawak ia masih pada tahap kritikal.

Beliau berkata, sehubungan itu KKMM menganjurkan Program Menghubung Menyatu (CTU) di seluruh negara agar dapat terus berhubung dengan rakyat di semua peringkat dan kawasan.

“Selain melakukan khidmat kemanusiaan seperti membantu rakyat yang kurang berkemampuan, program CTU juga membolehkan kami menambah baik dari segi komunikasi,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian CTU di Kampung Pondok Tanjung di sini, hari ini.

Selain Kampung Pondok Tanjung, program sama turut diadakan di Pusat Transformasi Komuniti Bukit Merah.

Mohd Ali berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuat pemerhatian berhubung kemudahan komunikasi di kawasan Bagan Serai termasuk membina menara telekomunikasi jika perlu.

Sementara itu di TEMERLOH, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan KKMM Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata kira-kira sejuta rakyat di kawasan pedalaman yang masih tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan internet dan telekomunikasi disasarkan mendapat manfaat daripada program CTU.

Katanya sebanyak 40 program CTU telah dilaksanakan di seluruh negara sejak program itu diperkenalkan pada 2015 di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang bertujuan memastikan rakyat di luar bandar mempunyai akses kepada internet.

“Ini merupakan satu sumbangan kerajaan kepada rakyat luar bandar supaya taraf sosial dan ekonomi mereka dapat dipertingkatkan menerusi penggunaan aplikasi seperti e-rezeki dan e-Usahawan dalam memasarkan produk mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program CTU di Kampung Pulau Pasir Mandi, dekat sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kerdau merangkap pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata kira-kira 1,500 penduduk di Kampung Pulau Pasir Mandi, Kampung Kerai, Kampung Paya Perak dan Kampung Paya Sendayan di Kerdau mendapat manfaat daripada program itu.

“Menara telekomunikasi yang berfungsi awal Februari lepas ini turut dapat dinikmati oleh lebih kurang 1,000 penduduk Orang Asli di Kampung Paya Sendayan. Sehingga kini terdapat lapan pemancar telekomunikasi di kawasan DUN Kerdau,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 10 set dekoder Njoi (Astro) turut diberikan kepada penduduk terpilih dari Kampung Pulau Pasir Mandi. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here