“Masyarakat India Harus Sentiasa Sokong BN” – Presiden MIC

0
131

KULIM, – Masyarakat India perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti banyak membantu kaum itu daripada segi pembangunan ekonomi dan sosial.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata bantuan yang diberi kerajaan terhadap kaum India juga menunjukkan kerajaan sedia ada mengamalkan konsep perkongsian kuasa dengan sebaik-baiknya.

“Bantuan tidak pernah putus kepada masyarakat India di sini (daerah Kulim), termasuk kepada sekolah dan kuil. Ini tanda kepimpinan BN menyokong orang India. Jadi, masyarakat India sendiri perlu sedar dan melakukan perubahan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Perpaduan Pongal di sini malam ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata sehubungan itu, masyarakat India di daerah ini tidak seharusnya mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum lepas dan sebaliknya bertindak bijak dengan memilih wakil rakyat yang mampu memperjuangkan nasib rakyat.

“Kesilapan itu banyak memberi kesan kepada masa depan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas serta kawasan Parlimen Padang Serai dan sudah tiba masanya mereka bangkit untuk mengubahnya.

“Sudah lebih 10 tahun penduduk di sini hidup dalam ‘kegelapan’ dan menerima akibat yang bukan sedikit kerana wakil rakyat yang dipilih dulu gagal menjalankan tugasnya. Saya percaya, kesedaran itu sudah ada dan berharap penduduk di sini tidak memperjudikan kehidupan mereka sekali lagi,” katanya.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Padang Serai kini disandang N.Surendran dari PKR, manakala Azman Nasrudin dari parti sama menyandang kerusi DUN Lunas.

Dr Subramaniam juga menegaskan tentang perlunya terdapat sekurang-kurangnya dua wakil rakyat daripada kaum India di DUN Kedah bagi menjaga kebajikan masyarakat itu.- BERNAMA

Spread the News :-
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •