Friday, July 28, 2017
Home BM Lanun mahu jual petrol RM21 juta

Lanun mahu jual petrol RM21 juta

0
247

PUTRAJAYA 15 Jun – Kapal tangki MT Orkim Harmony dilarikan selepas sindiket lanun di Laut China Selatan mengetahui kapal tersebut membawa muatan petrol RON95 bernilai RM21 juta.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Ahmad Fuzi Ab. Kahar berkata, pihaknya percaya sindiket lanun yang didalangi oleh rakyat tempatan dan rakyat asing itu sedang berusaha mencari pembeli minyak petrol berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, disebabkan bahan yang hendak dijual itu adalah petrol RON95 dan langkah mengeluarkan bahan api tersebut dari tangki kapal memerlukan prosedur khas, berkemungkinan besar usaha mencari pembeli di sekitar kepulauan berhampiran perairan negara agak sukar.

“Saya menolak teori kehilangan kapal ini disebabkan kemalangan, bocor atau kerosakan kerana jika itu berlaku kru kapal masih boleh meng­hubungi mana-mana pihak untuk mendapatkan bantuan.

“Kehilangan ini lebih menjuruskan kepada rompakan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Maritim Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memaklumkan perkembangan terkini kehilangan kapal MT Orkim Harmony yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Kuantan serta usaha-usaha untuk menjejakinya.

Peristiwa itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut bersedih dengan kejadian tersebut dan telah mengarahkan usaha pencarian dijalankan.

Ketika ditanya kemungkinan pembabitan orang dalam terdiri daripada kru bagi membolehkan kapal itu dirampas, Ahmad Fuzi menjelaskan, siasatan berhubung kehilangan kapal itu akan dibuat secara menyeluruh dan terperinci.

Dalam perkembangan berkaitan, ujarnya, antara tindakan pertama lanun sebaik sahaja merampas kapal tersebut adalah mematikan sistem pengenalan automatik (AIS) supaya kapal tersebut tidak dapat dikesan atau dijejaki pihak berkuasa sekali gus memudahkan penjenayah terbabit melarikan kapal berkenaan.

Berhubung gerakan mencari dan menyelamat, katanya, pihak Maritim Malaysia telah memperhebatkan usaha tersebut dengan memperluaskan kawasan pencarian daripada 20,000 kilometer persegi sebelum ini kepada 50,000 kilometer persegi hari ini.

“Kita menggerakkan aset-aset kita untuk melakukan operasi ini melibatkan lapan kapal, tiga bot dan sebuah pesawat. Operasi juga membabitkan tiga kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Ahmad Fuzi memberitahu, berdasarkan analisis pihaknya, kemungkinan besar kapal tersebut kini berada pada laluan sekitar kepulauan Anambas atau Natuna (Indonesia) jika laluannya menuju ke arah timur dan perairan Vietnam jika menuju ke utara.

“Atas faktor ini, kita menghubungi negara jiran iaitu Indonesia dan Vietnam untuk mendapatkan bantuan bagi menjejaki kapal tangki ini. Kita juga menghubungi negara ASEAN lain seperti Thailand, Kemboja dan Singapura termasuk Amerika Syarikat serta Australia bagi tujuan sama,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fuzi berkata, kerajaan, syarikat serta keluarga kru setakat ini juga tidak menerima apa-apa panggilan daripada mana-mana pihak bagi tujuan menuntut wang tebusan.

Dalam sidang akhbar tersebut, Ahmad Fuzi turut menyentuh kegagalan syarikat pemilik kapal tangki MT Orkim Harmony melaporkan kehilangan kapal itu pada malam kejadian kepada pihak berkuasa dan menyebabkan gerakan mencari dan menyelamat tidak dapat dilakukan dengan kadar segera.

Menurutnya, syarikat berkenaan hanya melaporkan tentang kehilangan kapal itu pada pukul 7.30 pagi, 12 Jun sedangkan kejadian tersebut berlaku pada hari Rabu 11 Jun, pukul 8.57 malam.

Ujarnya, disebabkan kelewatan tersebut iaitu kira-kira 10 jam, kedudukan kapal tangki yang turut membawa 22 orang kru itu semakin jauh dan dianggarkan berada 180 kilometer dari lokasi terakhirnya semasa laporan tentang kehilangannya dibuat.

– Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here