” Klinik Desa dan Klinik Kesihatan akan dinaik taraf” – Subra

0
79
Gambar : Harian Metro - 3/12/2016

Putrajaya: Kesesakan dihadapi di klinik desa serta klinik kesihatan di seluruh negara terutama yang padat penduduk akan diatasi menerusi langkah menaik taraf dilaksanakan Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Subramaniam berkata, usaha itu juga bagi memastikan sistem penyampaian kesihatan kepada pesakit yang menerima rawatan dapat dilakukan dengan lancar.

“Kebanyakan klinik kesihatan di kawasan bandar utama semuanya berdepan masalah kesesakan kerana sewaktu dibina dahulu, jumlah penduduk sekitarnya tidak begitu ramai.

“Pembangunan bandar termasuk kewujudan banyak taman perumahan, kehadiran pengunjung semakin bertambah malah, pesakit juga lebih ramai menggunakan kemudahan awam itu berbanding klinik swasta,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan mengejut di Klinik Kesihatan Puchong, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Pada masa sama, Dr Subramaniam berkata, klinik kesihatan juga menjadi barisan pertama selaras usaha Kementerian Kesihatan meningkatkan hala tuju dan sistem penyampaian kesihatan untuk jangka masa panjang.

“Kemudahan klinik kesihatan sedia ada diperkukuhkan, malah langkah berkenaan juga dapat mengurangkan kesesakan di hospital,” katanya.

Bagi mengurangkan kesesakan di fasiliti berkenaan, beliau berkata, Kementerian Kesihatan melaksanakan beberapa kaedah seperti mewujudkan Klinik 1Malaysia yang membolehkan pesakit mengambil ubat ulangan di situ.

“Kami menaik taraf klinik sedia ada termasuk klinik desa berkeluasan kecil menjadi lebih besar,” katanya.

Sebanyak 920 klinik kesihatan di seluruh negara dengan 50 peratus daripadanya terletak di bandar dan 2,000 klinik desa.

Mengenai lawatan semalam, Dr Subramaniam berkata, Klinik Kesihatan Puchong tidak terkecuali berdepan kesesakan kerana lokasi di bandar utama dan dianggarkan menerima 1,000 pesakit.

“Saya ada menerima aduan mengatakan, ada pesakit sanggup datang seawal jam 6.30 pagi untuk mendaftar dan menunggu bagi mendapatkan rawatan.

“Penyelesaian sebegini boleh dibuat secara baik misalnya menerusi temu janji ditetapkan secara berkala pada waktu pagi, tengah hari dan petang sekali gus pesakit tidak perlu menunggu lama,” katanya. – Hmetro

LEAVE A REPLY