Kerajaan Selangor roboh 30 rumah dan tiga kuil, beberapa pemimpin MIC ditahan

0
44813

KUALA LUMPUR: Setiausaha Eksekutif MIC kebangsaan K Parthiban, Setiausaha Pemuda MIC R Arivind dan Ketua Pemuda MIC Selangor D Kajendren antara pemimpin yang ditahan oleh pihak polis ketika cuba menghalang satu perobohan yang melibatkan 30 unit rumah dan tiga buah kuil di Kampung Seri Aman, Ijok di sini, pagi tadi.

Kajendran mengesahkan kepada Berita Daily, beliau bersama Parthiban yang juga bekas Adun Ijok dan Arivind ditahan oleh pihak polis dan kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Menurut Kajendran, tindakan yang kejam ini dilakukan atas arahan Menteri Besar Selangor Mohd Azmin Ali.

“Mereka (pihak pejabat tanah Kuala Selangor) mula berkumpul diperkarangan Kampung Seri Aman sekitar 9 pagi bersama pihak polis untuk merobohkan kampung tersebut,” katanya.

“Pihak pejabat langsung tidak memberi peluang kepada kami untuk berbincang dan mula merobohkan rumahnya, kononnya ia arahan daripada Menteri Besar sendiri,” katanya sambil menambah bahawa setakat pukul 12 tengah hari pihaknya telahpun merobohkan tiga unit rumah dan tiga kuil.

“Selain kami bertiga, pihak polis turut menahan beberapa penghuni kampung yang cuba menghalangnya,” jelas beliau.

Didapati, Kerajaan Selangor mencadangkan tanah tersebut untuk membina rumah mampu milik dan telahpun mengenal pasti kawasan lain untuk kepada penduduk kampung tersebut untuk menduduki.

Bagaimanapun, Kajendran berkata kawasan yang dikenal pasti kepada kampung tersebut tidak sesuai untuk membina rumah.

“Saya pernah melawat sendiri ke kawasan tersebut,” tambah beliau.

“Untuk maklumat, tanah Kampung Seri Aman pada asalnya milik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan hak miliknya dipindah milik ke kerajaan negeri ketika BN memerintah negeri Selangor.

“Hak miliknya dipindah milik ke kerajaan negeri seterusnya memberikan geran tetap kepada penduduk kampung memiliki tanah tersebut. Tetapi, apabila Kerajaan Negeri bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat, mereka mencadangkan untuk membina rumah mampu milik,” ujarnya.

“Ini satu tindakan yang kejam dimana turut disokong oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor V Ganabatirau dan bekas exco Dr Xavier Jayakumar,” katanya lagi.

“Pakatan Rakyat sekali lagi membuktikan bahawa kaum India diberi layanan kelas ketiga di negeri Selangor,” tegas beliau. – Berita Daily

LEAVE A REPLY