Friday, September 22, 2017
Home BM JDT kekal kedudukan

JDT kekal kedudukan

0
310

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super meskipun seri 1-1 menentang Pulau Pinang, malam ini.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu, skuad Harimau Selatan yang mengumpul 40 mata, memperoleh gol pertama seawal minit ke-11 menerusi Pereyra Diaz, namun tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Fitri Omar pada minit ke-60.

Mengekori rapat di kedudukan kedua ialah Felda United yang mengumpul 38 mata setelah terikat 1-1 berdepan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu. Tuan rumah yang tersentak dengan jaringan awal Felda United oleh Forkey Doe pada minit kesembilan, berhasil menyamakan kedudukan menerusi jaringan Wander Luiz Junior pada minit ke-76.

Keputusan itu menyaksikan pasukan Kelantan jatuh di tangga ketujuh dengan 18 mata. Pasukan Selangor di kedudukan ketiga dengan 26 mata walaupun tewas kepada T-Team 0-1, hasil jaringan pemain import tuan rumah, Makan Konate pada minit ke-36 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kemenangan itu menyaksikan T-Team naik ke kedudukan keenam dengan 19 mata. Sementara di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah menewaskan Pahang 1-0 dan kekal di tangga keempat dengan pungutan 22 mata, hasil sepakan penalti Shane Smeltz pada minit ke-28.

Di Stadium Perak, Ipoh, menyaksikan jaringan Fazrul Hazli pada minit ke-47 meletakkan The Bos Gaurus di tangga kelima dengan pungutan 20 mata selepas menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0.

Sarawak pula naik di tempat kelapan dengan kutipan 18 mata selepas menewaskan Terengganu 2-1 menerusi jaringan seawal pada minit kedua perlawanan oleh Ndumba Makeche di Stadium Negeri Kuching.

Gol kedua disumbangkan Gilmar Jose Da Silva Filho hasil sepakan penalti pada minit ke-55 selepas pemain tuan rumah, Makeche dikasari dalam kotak penalti, manakala gol tunggal Terengganu dijaringkan Vincet Bikana pada minit ke-21. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here