‘Himpunan Rakyat Bersatu perlu ikut undang-undang’ – Najib

0
354

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu peserta Himpunan Rakyat Bersatu pada Rabu ini mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

Tegasnya, peserta perhimpunan turut diminta tidak membawa sebarang risalah atau poster yang boleh membangkitkan ketegangan antara kaum.

“Kita mendapat cadangan kumpulan tertentu mengenai 16 September, parti komponen memberi banyak pendapat dan kita setuju untuk tidak bersetuju dengan perhimpunan itu.

“Ia bukan hari yang sesuai, saya hormat pandangan yang disampaikan dalam BN. Jangan bawa poster pada hari berkenaan atau berbalah.

“Polis juga perlu membuat kawalan ketat, jangan ada laluan yang bertembung,” kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pengerusi parti komponen lain.

Ia merupakan yang pertama diadakan selepas rombakan kabinet pada 28 Julai lalu.

Jelasnya, mesyuarat turut mencapai keputusan 16 September juga bukan hari yang sesuai untuk mengadakan sebarang perhimpunan.

“Pemimpin BN sendiri akan berada di Kota Kinabalu pada hari berkenaan, ia adalah tempat di mana semangat bangsa 16 September pada hari tersebut,” jelasnya.

Pada Isnin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz meluluskan permohonan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi Himpunan Rakyat Bersatu.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut menasihatkan agar mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan supaya mematuhi segala peraturan yang ada.

Jelasnya, ekoran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  telah memberi kebenaran untuk menggunakan lokasi Padang Merbok mengadakan perhimpunan itu, ia diharap agar jalan raya di sekitar ibu negara tidak diusik oleh mana-mana pihak.

Perhimpunan Rakyat Bersatu diketuai oleh Pesaka bersama 250 badan bukan kerajaan (NGO) lain yang diadakan sebagai membantah penganjuran himpunan Bersih 4 baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here