Himpunan Rakyat Bersatu Manifestasi Kebangkitan Orang Melayu – Najib

0
320

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Himpunan Rakyat Bersatu di ibu negara pada Rabu lepas merupakan manifestasi kebangkitan orang Melayu untuk mempertahankan maruah dan kepimpinan negara daripada dikutuk dan dihina.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun beberapa perhimpunan haram yang diadakan sebelum ini telah mencabar maruah orang Melayu, namun mereka tetap bersabar.

Tetapi perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada bulan lepas dianggap kemuncaknya apabila beberapa peserta perhimpunan itu bertindak melampaui batas memijak gambar dan menghina kepimpinan negara, katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Silat Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Merdeka 2015 di Dataran Merdeka, di sini malam ini.

Berucap di hadapan kira-kira 15,000 pesilat dari seluruh negara, Najib berkata: “Sekali tampar, kita tak buat apa. Dua kali tampar…tak buat apa..tiga kali tampar..tak buat apa..tapi empat kali tampar sudah melampaui batas. Orang Melayu ada hak juga.

“Orang Melayu boleh bangun bila maruah mereka tercalar, bila pemimpin dihina, dikutuk dan dipermalukan. Cukup jangan sesiapa ulang perbuatan durjana seperti ini,” katanya.

Perdana menteri berkata perhimpunan pesilat pada malam ini juga menunjukkan kesediaan mereka untuk mempertahankan maruah negara daripada dihina.

Najib dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan boleh ditukar melalui demonstrasi jalanan.

“Jangan fikir kerajaan hari ini tidak ada sokongan…15,000 yang berhimpun malam ini adalah penyokong kita,” katanya dan disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat untuk tidak termakan ‘racun’ yang ditaburkan dari dalam dan luar, mahupun di alam maya yang mahu mengoncang kerajaan.

Katanya walaupun orang Melayu mempunyai hak untuk marah susulan beberapa perhimpunan haram sebelum ini namun masih mampu untuk berkumpul secara bertamaddun.

“Walaupun, sebelumnya dimomokkan kalau orang Melayu berhimpun pasti ada kekecohanan tetapi jelas perhimpunan itu berlangsung aman.

“Tiada sepanduk yang menghasut atau perkauman, tak ada pihak pijak gambar…jadi orang lain tidak harus khuatir, kita bukan orang yang buat himpunan atau demonstrasi jalanan untuk menukar kerajaan,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Pesaka, Tan Sri Ali Rustam, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Najib pada majlis itu turut mengisytiharkan silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara, dan mahu melihat persilatan Melayu terus dikembangkan dalam setiap sudut, termasuk di pejabat kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mahupun universiti.

“Kita mahu dunia persilatan Melayu diangkat darjah dan maruahnya,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here