“Hasilkan Karya Bertaraf Antarabangsa” – Najib

0
250

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pembikin-pembikin filem Malaysia supaya keluar daripada zon selesa dan berusaha untuk menghasilkan karya-karya bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata kecenderungan mereka untuk menggunakan formula yang sama setiap kali menghasilkan filem semata-mata untuk mendapatkan hasil kutipan yang tinggi tidak akan membantu meningkatkan martabat industri perfileman negara.

“Saya faham akan kecenderungan pembikin filem untuk menggunakan formula yang sama bagi memastikan kejayaan filemnya … itu adalah realiti imbangan antara pelaburan dan kutipan hasil.

“Namun tindakan sedemikian secara berterusan tidak akan membantu membangunkan industri filem tanah air. Mutu filem yang dihasilkan akan kekal pada tahap yang sama dan akhirnya industri Malaysia akan ketinggalan,” katanya dalam teks ucapan pada Majlis Perasmian Ekspo Filem Malaysia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ekspo itu dianjurkan oleh Perbadanan Filem Nasional (FINAS) bertujuan sebagai platform kepada penggiat industri untuk berkongsi ilmu, kepakaran dan teknologi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, serta penggiat-penggiat seni tanah air.

Dalam pada itu, perdana menteri mahu pelabur-pelabur industri filem untuk terus menyokong pembikin-pembikin filem yang berani menghasilkan karya yang lain daripada yang lain, asalkan ia mempunyai potensi untuk kejayaan komersial.

“Hanya dengan kesanggupan ini, dan dengan kerjasama antara pembikin filem dan pelabur, barulah karya-karya bermutu tinggi dapat dihasilkan,” katanya lagi.

Selain itu, Najib berkata kerajaan akan terus prihatin dan peka kepada setiap kertas cadangan dan masalah serta kekangan yang dihadapi oleh penggiat seni tanah air. Beliau berkata setiap cadangan dan permasalahan yang dibangkitkan akan dikaji dan diperhalusi sewajarnya oleh kerajaan melalui KKMM.

“Sinergi usahasama positif yang erat antara penggiat seni dan kerajaan ini amat penting dalam memastikan kepentingan kedua-dua belah pihak sentiasa terpelihara.

“Adalah menjadi harapan saya untuk melihat industri kreatif negara dapat terus dipacu agar setanding dengan negara-negara maju, namun dalam masa yang sama, masih mengekalkan identiti nasional negara yang bercirikan budaya Malaysia,” kata perdana menteri.

Di akhir ucapannya, Najib berharap agar Ekspo Filem Malaysia itu dapat menjadi platform kepada penggiat seni untuk berkongsi kepakaran dan teknologi di sebalik tabir pembikinan sesebuah filem.

“Saya yakin program sebegini mampu menjana kepada pembangunan kreativiti generasi muda dan secara tidak langsung melahirkan rakyat yang dinamik dan kreatif secara holistiknya.

“Kerajaan yakin program sebegini akan merangsang pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi sebagai sumber kemajuan serta pelbagai peluang ekonomi baharu,” katanya.

Najib berkata sekiranya apa yang digariskan dapat dicapai, pendapatan negara, produktiviti serta kualiti hidup akan meningkat dan seterusnya menjamin kesejahteraan serta kemakmuran yang berterusan untuk rakyat dan negara secara amnya.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here