Hakim Persekutuan Tarik Diri Daripada Dengar Kes Anwar

0
204

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyennya bagi sabitan meliwat.

Asmabi membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin, mewakili Anwar, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia.

Latheefa ketika ditemui pemberita berkata Asmabi membenarkan permohonan Anwar supaya beliau menarik diri atas alasan wujud “bahaya berat sebelah” sekiranya beliau mendengar permohonan Anwar bagi semakan kehakiman.

Beliau turut berkata pihak pembelaan turut berhujah Asmabi juga peguam kanan persekutuan yang mewakili kerajaan dalam saman difailkan Anwar terhadap Perdana Menteri ketika itu berhubung pemecatannya daripada Kabinet pada 1998.

“Kes itu akan didengar di hadapan hakim lain. Bagaimanapun tarikh sebutan kes berkenaan akan ditetapkan kemudian,” kata Latheefa.

Pada 24 Jun lepas, Anwar, Wan Azizah dan dua anak mereka memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan lembaga itu pada 16 Mac dan agar lembaga itu menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar.

Mereka juga memohon perintah mandamus agar lembaga itu mengadakan semula mesyuaratnya dan menimbang semua perkara berhubung petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, Anwar mendakwa keputusan lembaga itu melanggar peraturan keadilan hak asasi dan oleh itu adalah tidak sah.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

Dalam pada itu, Latheefa berkata Asmabi turut menarik diri daripada mendengar saman pemula yang difailkan Anwar terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi kerana tidak membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei lepas.

“Oleh itu, kes berkenaan yang dijadualkan untuk pendengaran esok di hadapan Asmabi turut dilapangkan,” katanya.

— BERNAMA

SHARE
Previous article455,929 calon duduki UPSR 2015
Next articleDad jailed 19 years for sexually abusing daughter
Journalist, author and editor for MyTimes. Holds certificate in Public Relation and Journalism. 8 Years of experience in reporting and political analyst.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here