Dual Language Programme Kekal – Kementerian Pendidikan Malaysia

0
39

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan meneruskan program Dual Language Programme (DLP) di 1,215 sekolah sedia ada, selain memberi kelulusan kepada 88 sekolah baharu untuk melaksanakan program berkenaan tahun ini.

KPM dalam kenyataan berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang melaksanakan DLP tahun ini adalah 1,303 sekolah.

“Semua 1,215 sekolah akan meneruskan program ini bagi kelas sedia ada dan boleh membuat pembukaan kelas baharu bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja, begitu juga bagi 88 sekolah yang baharu diluluskan pelaksanaannya tahun ini.

“Pembukaan kelas yang melaksanakan DLP akan bermula Ahad ini (7 Januari) bagi negeri di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor, manakala negeri lain akan bermula pada Isnin (8 Januari),”katanya.

Menurut kenyataan itu, Surat Pekeliling Ikhtisas dan Garis Panduan Pelaksanaan DLP Tahun 2018 akan dikeluarkan pada minggu ini.

“Pihak sekolah sudah diminta membuat persediaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya pada peringkat sekolah masing-masing,” katanya.

DLP adalah program yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bidang Sains dan Matematik yang ditetapkan kementerian.

Objektif pelaksanaannya adalah menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris murid melalui peningkatan masa pendedahan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran bidang Sains dan Matematik.

Malah, ia juga memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses penerokaan pelbagai bidang ilmu untuk bersaing di peringkat global serta meningkatkan kebolehpasaran murid dalam alam pekerjaan.

Pelaksanaannya dimaklumkan KPM pada 3 Disember 2015, dan program itu adalah dibawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ia dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) secara rintis pada 2016 membabitkan 300 sekolah.

Bagi tujuan pelaksanaan rintis DLP, mata pelajaran yang terbabit adalah Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Reka bentuk dan Teknologi bagi Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1.

Namun, pelaksanaannya ditentang hebat oleh beberapa NGO berasaskan bahasa ibunda dan pendidikan termasuk NGO Melayu selepas difahamkan pelaksanaan program DLP akan mendatangkan impak yang besar terhadap pendidikan negara, khasnya keutuhan pendidikan bahasa ibunda. – Hmetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here