Thursday, July 27, 2017
Home BM Dr S. Subramaniam Presiden baharu MIC

Dr S. Subramaniam Presiden baharu MIC

0
707

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam diisytiharkan sebagai Presiden MIC baharu bagi penggal 2013 hingga 2016 selepas menang tanpa bertanding, apabila tiada nama lain dicalonkan bagi jawatan itu pada hari penamaan pemilihan Presiden parti hari ini.

Subramaniam yang sebelum ini merupakan Timbalan Presiden, menggantikan Datuk Seri G. Palanivel yang digugurkan jawatan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berikutan penyelewengan dalam pemilihan pada tahun 2013.

Pengisytiharan kemenangan Subramaniam itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC, Datuk B. Sagadevan di Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat di sini hari.

Ketika mengumumkannya, Sagadevan berkata, pihaknya hanya menerima satu borang pencalonan iaitu daripada Subramaniam pada pukul 4.45 petang. Pencalonan Subramaniam disertakan 450 borang sokongan pencalonan, mewakili 2,700 daripada 2,843 cawangan MIC di seluruh negara.

“Selepas pencalonan ditutup pukul 6.30 petang, hanya satu borang diterima, sehubungan itu, saya mengisytiharkan Datuk Seri Dr. S Subramaniam menang tanpa bertanding untuk jawatan Pre­siden MIC,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 penyokong beliau yang hadir.

Yang turut hadir, bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Naib Presiden, Datuk M. Saravanan dan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), P. Kamalanathan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas diumumkan pemenang, Subramaniam berkata, beliau telah menerima sokongan daripada 95 peratus ketua-ketua cawangan MIC seluruh negara yang menghantar borang sokongan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua ketua cawangan yang telah memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk menerajui parti ini.

“Krisis dalaman yang berlanjutan selama 20 bulan ini memberi banyak pengajaran kepada kita. Ini bukan perjuangan biasa, malah kita melalui banyak cabaran. Sebagai Presiden MIC yang baharu, saya yakin dapat menggalas tanggungjawab yang besar ini, sekali gus membawa perubahan yang lebih baik kepada parti dan masyarakat India,” katanya.

Dalam pada itu, sesi penamaan calon untuk pemilihan semula jawatan itu dicemari insiden pergaduhan kira-kira 500 orang dipercayai membabitkan kumpulan penyokong Subramaniam dan para penyokong Palanivel, menyebabkan beberapa individu termasuk anggota polis cedera di kepala akibat dibaling batu.

Pergaduhan bermula pada kira-kira pukul 4.15 petang apabila penyokong Subramaniam berkumpul di hadapan bangunan bagi menghalang kumpulan pro-Palanivel daripada memasukinya.

Akibatnya, penyokong Palanivel berang lalu bertindak memecahkan pintu pagar. Ia berlarutan kepada insiden membaling batu, botol air dan melemparkan kata-kata kesat antara mereka.

Ketegangan berkenaan menyebabkan pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) segera melakukan kawalan bagi memisahkan kedua-dua kumpulan.

Sementara itu, Subramaniam ketika diminta mengulas mengenai insiden kekecohan hari ini berkata, tindakan selanjutnya akan diputuskan dalam mesyuarat CWC akan datang.

Beliau menyatakan kesediaan menerima kembali beberapa ahli dan pemimpin MIC termasuk Palanivel yang dilucutkan jawatan secara ‘Ipso Facto’ sekiranya mereka menghantar keahlian baharu kepadanya.

Krisis kepimpinan MIC bermula selepas pemilihan bagi jawatan tiga Naib Presiden dan 23 anggota CWC di mesyuarat agung tahunan yang berlangsung di Melaka pada tahun 2013 dipercayai wujud penyelewengan setelah beberapa ahli membuat aduan kepada ROS.

Pemilihan MIC 2013 itu kemudian diisytiharkan batal dan tidak sah oleh ROS menerusi arahan bertarikh 5 Disember 2014. – Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here