Bot tempur TLDM ditemui, semua anggota selamat

0
201

KOTA KINABALU: Sebuah bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dinaiki empat anggota yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu, berjaya diselamatkan, pagi tadi.

Difahamkan, bot tempur atau ‘Rigid Hull Infla­table Boat’ (RIB) itu hilang ketika berhampiran perairan Stesen PAPA TLDM iaitu di tengah Terumbu Peninjau atau 70 batu nautika timur laut Terumbu Layang Layang, pagi kelmarin.

Bot tempur terbabit dikatakan hilang komunikasi dengan Stesen PAPA dan pusat kawalan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, dekat sini sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Bot terbabit berjaya diselamatkan pada jam 10.30 pagi tadi oleh Kapal Diraja (KD) Lekir milik TLDM dengan semua anggotanya dilaporkan dalam keadaan sihat.

MAWILLA 2 menerusi kenyataan berkata, bilik operasi SAR ditubuhkan sebaik maklumat kehilangan bot tempur terbabit diterima, manakala pencarian di laut diketuai oleh kapal KD Jebat serta kapal TLDM yang lain, termasuk KD Lekir, KD Pari, KD Kedah dan KD Yu.

Turut digunakan ialah aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu KM Banggi, KM Ikhlas dan pesawat AW 139, serta pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Operasi ditamatkan pada jam 1 tengah hari setelah semua persediaan membawa balik anggota TLDM selamat dilaksanakan.

“Pihak MAWILLA 2 dan seluruh warga TLDM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terbabit dan amat menghargai usaha serta jasa mereka memastikan anggota TLDM berkenaan kembali dengan selamat,” katanya. – Bharian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here