Beri Masa Kepada Najib Selesaikan Isu 1MDB – Mas Ermieyati

0
212

KOTA BAHARU, Pergerakan Puteri UMNO meminta semua pihak memberi sokongan dan kepercayaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sebagaimana yang dinyatakan perdana menteri sebelum ini, beri masa dan kepercayaan kepada beliau untuk menyelesaikan isu 1MDB dalam tempoh enam bulan,” kata ketua pergerakan itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sambil meminta semua pihak bersabar, beliau berkata: “Beri ruang untuk mereka selesaikan. Selepas enam bulan kita lihat bagaimana.”

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO bahagian Kota Baharu di sini Jumaat.

Pada 1 Ogos lepas, Najib berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1MDB dan memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu.

Najib berkata beberapa pihak luar turut menyatakan minat untuk melabur dalam projek 1MDB, sekali gus mencerminkan aset syarikat itu sememangnya bernilai.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata Puteri UMNO sedang merangka gerak kerja yang lebih tersusun dalam usaha menjadi benteng menangkis segala serangan pembangkang.

“Saya telah memanggil semua Ketua Puteri UMNO negeri dan merangka gerak kerja untuk sama-sama turun padang bagi menangani segala permasalahan dan fitnah yang dilontarkan terhadap parti dan perdana menteri,” katanya.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata beliau akan menjadikan persidangan perwakilan UMNO yang sedang berlangsung sebagai platform untuk memberikan penerangan berhubung beberapa isu berbangkit.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here