Ahmad Zahid Terima Kunjungan Hormat Timbalan Perdana Menteri Yemen Abdulmalik

0
63
PUTRAJAYA, 9 Mac -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Yemen, Abdulmalik Abdul Jalil Al-Mekhlafi (kiri) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -- fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA ?

PUTRAJAYA, 9 Mac – Pemimpin Malaysia dan Yemen hari ini bertemu bagi membincangkan bidang kerjasama dua hala termasuk berkaitan isu serantau dan global yang melibatkan kepentingan dua negara.

Ia menjadi topik dalam pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya dari Yemen Abdulmalik Abdul Jalil Al-Mekhlafi kira-kira sejam di Perdana Putra di sini.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pertemuan itu menyatakan sokongan Malaysia sepenuhnya kepada usaha wakil khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke Yemen untuk mencari penyelesaian kepada konflik yang melanda negara itu.

“Ia adalah bagi memastikan kesepakatan, kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah Republik Yemen adalah terpelihara,” kata kenyataan itu

Kenyataan itu juga menyebut Malaysia menerusi platform PBB mengutuk serangan ke atas orang awam dan insfrastruktur seperti sekolah-sekolah dan hospital di Yemen yang mengakibatkan kesengsaraan kepada masyarakat.

Menurut kenyataan itu, Malaysia turut membantu dari aspek sumbangan kemanusiaan berjumlah US$100,000 semasa Mesyuarat Luar Biasa Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah pada 2015.

Dalam aspek pendidikan, terdapat seramai 5,779 pelajar Yemen sedang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Malaysia sehingga 1 Mac lalu.

Seramai 300 pelajar Malaysia pula terdapat di Yemen.-Bernama

LEAVE A REPLY