ADUN Jeram Padang Prihatin

0
292

BAHAU: “Sepanjang 15 tahun menjadi pembantu rumah bagi keluarga Datuk L Manickam, saya dilayan keluarga sendiri,” kata wanita warga Indonesia, Sama Sokah, 49.

Beliau bersyukur kerana kerana tugas dan peranannya sentiasa dihargai keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jeram Padang itu.

Sama berkata, kes penderaan yang menimpa pembantu rumah warga asing terutama dari negara asalnya, tidak menggambarkan keseluruhan sikap majikan di negara ini.

“Saya gembira bekerja di sini… majikan saya dan keluarga sangat baik. Beliau pernah membiayai umrah saya pada Disember 2016 walaupun sepatutnya saya ke Tanah Suci pada 2014 tetapi ditipu ejen,” katanya.

Sama yang berasal dari Kampung Subang, Bandung, Indonesia berkata, Manickam terpaksa mengeluarkan duit tambahan bagi memastikan hasratnya menunaikan umrah tercapai, malah majikannya itu sanggup turun ke Jakarta menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Alhamdulilah, akhirnya selepas tertangguh, saya dapat menunaikan umrah pada Disember 2016. Saya terharu apabila beliau sanggup mengeluarkan belanja tambahan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berlainan agama, keluarga Manickam menghormatinya sebagai umat Islam dan tidak pernah melarangnya untuk menunaikan semua kewajipan, termasuk solat dan puasa.

Ibu tunggal itu turut mengimbau kenangan empat tahun lalu, apabila majikannya membantunya pulang ke kampung dengan segera sebaik menerima berita kematian ibunya di kampung.

“Saya sempat melihat wajah arwah ibu buat kali terakhir sebelum dikebumikan. Semua itu atas bantuan majikan sekeluarga yang membantu menguruskan perjalanan pulang saya,” katanya.

Sementara itu, M Indhu, 19, anak ketiga Manickam berkata, Sama sudah dianggap sebagai ahli keluarganya, apatah lagi wanita itu menjaganya sejak kecil termasuk menghantar ke tadika berhampiran rumah.

“Jika dia pulang bercuti ke kampung, saya akan merinduinya, malah ada ketika mahu tidur saya akan menangis kerana merinduinya.

“Saya memang rapat dengannya, malah suka dengan masakannya. Dia suka bergurau dan menasihati saya dalam banyak perkara,” katanya.

Sementara itu, Manickam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru negeri berkata, pembantu rumahnya itu adalah yang ketiga dan paling lama bekerja dengannya.

“Kami sekeluarga sangat senang dengannya . Dia menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah,” katanya. – BHARIAN

Spread the News :-
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •