Monday, March 27, 2017
Ada kejutan besar menanti atlet paralimpik

Ada kejutan besar menanti atlet paralimpik

0
548

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, selain sambutan besar-besaran, ada elemen kejutan bakal menanti atlet para­limpik apabila pulang ke tanah air dari Rio de Janeiro, Brazil pada Khamis depan.

Jelas Khairy, beliau telah membincangkan untuk menyambut wira-wira negara yang bertanding dalam Sukan Paralimpik setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang nanti, yang akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tadi kita sudah membincangkan (tentang sambutan atlet paralimpik dari Rio) di Parlimen. Perdana Menteri sendiri akan menyambut kontinjen kita pada 22 hari bulan di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

“Dan mereka akan dibawa ke Pusat Kecemerlangan Sukan Pa­ralimpik Malaysia di Kampung Pandan,” katanya ketika majlis meraikan pemegang pingat Sukan Olimpik di Pusat Kecemerlangan Proton di sini, hari ini.

Ketika ditanya secara spesifik mengenai acara yang dirancang untuk sambutan tersebut, Khairy dengan ringkas menjawab tunggu dan lihat. “Sambutan besar-besaranlah. Tunggulah…ada kejutan,” kata­nya.

Pada 24 Ogos lalu, kira-kira 3,000 peminat membanjiri Kompleks Bunga Raya, KLIA untuk menyambut ketibaan wira-wira negara yang pulang dari Sukan Olimpik Rio, yang menyaksikan Malaysia melakar pencapaian terbaik dalam sejarah dengan memenangi empat pingat perak dan satu gangsa.

Pesawat Emirates Airlines dari Dubai yang membawa pemenang pingat perak, Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Pandelela Rinong-Chan Peng Soon itu turut menerima sambutan ‘water sallute’ setibanya di KLIA.

Sementara itu, mengulas mengenai nasib bekas atlet powerlifting negara yang juga pemenang pingat Sukan Paralimpik pertama Malaysia, P. Mariappan Khairy berkata, selain menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik dan Paralimpik (SITO) berjumlah RM2,000 secara bulanan seumur hidup bermula Oktober ini, dia turut ditawarkan pekerjaan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“Mariappan akan ditawarkan peluang pekerjaan sama ada jurulatih atau pegawai program di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik. Namun, terpulang kepadanya sama ada untuk menerima tawaran itu,” katanya.

Untuk rekod, Mariappan pernah beraksi dalam enam edisi Sukan Paralimpik sejak 1987 dengan pencapaian cemerlang menyumbang gangsa dalam acara powerlifting pada Sukan Paralimpik Seoul 1988 dan Barcelona 1992. -Utusan

LEAVE A REPLY