85 Peratus Graduan Politeknik Kuala Terengganu Dapat Pekerjaan

0
940

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Kira-kira 85 peratus pelajar Politeknik Kuala Terengganu berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian dan ia menepati sasaran kebolehpasaran graduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pengarah Politeknik Kuala Terengganu Radiah Che Su berkata jumlah itu sangat membanggakan kerana pelajar lepasan politeknik itu terbukti laris dalam pasaran kerja di negara ini.

“Malah, kita juga sekarang giat memperkasakan pembangunan keusahawanan di kalangan pelajar agar mereka boleh memiliki perniagaan sendiri apabila tamat pengajian.

“Jadi, selain memenuhi pasaran kerja dalam negara, mereka juga boleh menjadi usahawan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ini, Politeknik Kuala Terengganu mempunyai 600 pelajar dari dua jabatan iaitu Jabatan Teknologi Maklumat dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik dengan lebih 150 petugas di kampus tersebut.

Mengulas mengenai cadangan Politeknik Kuala Terengganu untuk berpindah ke kawasan lain yang lebih besar dan selesa, Radiah berkata ia masih dalam peringkat perbincangan awal oleh KPT.

“Memang ada cadangan untuk berpindah ke kampus baharu di Banggol Air Leleh dekat Kuala Nerus, namun kita masih menunggu keputusan dari KPT mengenai perkara tersebut.

“Apabila ia terlaksana nanti, semua fasiliti termasuk asrama juga disediakan di dalam satu kawasan dan situasi ini berbeza dengan keadaan sekarang di mana, Politeknik kini terpaksa menyewa lima tempat berasingan sebagai kelas dan juga asrama pelajar,” katanya.

Sebelum ini kerajaan Terengganu ada menawarkan kawasan sesuai untuk operasi politeknik, sekali gus menjadikan Kuala Nerus sebagai hab pendidikan di Terengganu selain Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Institut Latihan Perindustrian.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here