24 Pelajar Ditahan Kerana Main Snuker

0
503

KUANTAN, 12 Ogos – Polis menahan 24 pelajar lelaki berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun yang didapati ponteng sekolah di sebuah pusat snuker dekat Jalan Air Putih di sini Selasa.

Serbuan pukul 12.45 tengah hari itu dilakukan anggota ‘pasukan petugas’ Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Kuantan yang diketuai oleh DSP Mohd Zaidi Mat Zin.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, selain itu pemilik premis terbabit, seorang lelaki warga tempatan berusia 63 tahun turut ditahan.

“Semasa serbuan dilakukan, kesemua pelajar terbabit yang lengkap berpakaian sekolah sedang leka bermain snuker.

Siasatan awal mendapati pelajar-pelajar itu bersekolah di sekolah berhampiran pusat snuker tersebut dan perkara itu juga akan dimaklumkan kepada ibu bapa serta pihak sekolah untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Beliau berkata, selain itu hasil pemeriksaan turut mendapati pusat snuker tersebut memiliki lesen perniagaan yang sah namun menyalahgunakan aktiviti dengan membenarkan remaja bawah umur memasuki premis.

Katanya, kesemua pelajar terlibat dan pemilik premis dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here