123 Saman Ops Khas Motosikal Sempena Aidilfitri di Pulau Pinang

0
198

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 123 saman malam tadi dalam Ops Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pengarahnya Datuk Hassan Yaacob berkata operasi yang bermula Jumaat lepas sehingga 25 Julai bertujuan menurunkan bilangan kemalangan dan kematian pengguna jalan raya.

Katanya operasi itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Daripada 123 saman itu, sebanyak 87 buah motosikal telah diambil tindakan termasuk sebuah motosikal disita,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi khas itu di Plaza Tol Juru menghala utara, pada Sabtu malam.

Hassan berkata antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan kesalahan teknikal.

Dalam perkembangan lain, Hassan berkata JPJ dengan kerjasama Skuad Muda 1JPJ dan JKJR merancang sembilan program operasi sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri.

“Antaranya penempatan anggota JPJ di setiap 30 kilometer di jalan utama negeri dan kawasan rehat dan rawat (R&R), Ops motosikal serentak seluruh negara, pemeriksaan bas di depoh dan terminal serta penyamaran bergambar,” katanya.

Beliau berkata denda RM300 akan dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan seperti memotong di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan lorong kecemasan.

Hassan juga mengingatkan pemandu kenderaan berat kategori pertama supaya tidak menggunakan jalan raya pada 15-16 Julai dan 24-25 Julai ini atau tindakan penguatkuasaan akan diambil.

Larangan itu bagi mengelakkan risiko kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain mengelak kesesakan lalu lintas, jelasnya. – Mstar

SHARE
Previous articleRapid Penang ‘Masuk’ Rumah Kedai
Next articleKafe Kucing Sesuai Untuk Terapi Tekanan
Journalist, author and editor for MyTimes. Holds certificate in Public Relation and Journalism. 8 Years of experience in reporting and political analyst.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here